Sunday, November 25, 2007

Penyokong Hindraf ganas

CABAR UNDANG-UNDANG: Sebahagian penunjuk perasaan yang menyertai perhimpunan haram di Kuala Lumpur, semalam bertindak liar membaling pelbagai objek ke arah polis.

Penunjuk perasaan teruskan perhimpunan haram, 136 ditahan bantu siasatan

KUALA LUMPUR: Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) semalam berdegil dengan meneruskan perhimpunan haram di beberapa lokasi di sekitar ibu negara tanpa mempedulikan larangan mahkamah dan amaran polis.

Malah, penyokong kumpulan itu bertindak ganas dengan membaling pelbagai objek termasuk besi, batu, tong sampah dan botol minuman ke arah pasukan polis selain merosakkan harta benda awam.

Sekurang-kurangnya empat anggota polis cedera termasuk seorang menerima 11 jahitan di kepala kerana diserang dengan batu bata, manakala tujuh kereta peronda rosak dibaling batu dan sebuah bas terbakar apabila seorang penunjuk perasaan membaling molotov koktail di Batu Caves.

Berikutan itu, polis menahan 136 penyokong kumpulan itu dan mengambil keterangan 105 orang lagi untuk membantu siasatan.

Jumaat lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan perintah sebelah pihak menghalang tiga pemimpin Hindraf serta semua pihak yang menyokong badan itu daripada menganjurkan perhimpunan haram meliputi kawasan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain.


BERTINDAK GANAS: Penunjuk perasaan merosakkan banyak kemudahan awam ketika mengadakan perhimpunan haram di Jalan Ampang, semalam.


Perhimpunan itu diadakan bagi menghantar petisyen mengandungi 100,000 tandatangan yang mendesak Ratu Elizabeth II membantu menyokong permohonan masyarakat India negara ini yang memfailkan saman menuntut pampasan 4 trilion pound sterling (RM27.7 trilion) daripada kerajaan Britain.

Kumpulan itu mula menimbulkan kekecohan dengan memecah masuk pintu utama kuil Batu Caves dan merosakkan harta benda di situ, kira-kira jam 2 pagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis yang bergegas ke kuil berkenaan sebaik menerima aduan Jawatankuasa Kuil Batu Caves, mendapati 1,000 orang berkumpul di situ.

"Polis mengarahkan mereka bersurai tetapi mereka enggan dan memasuki premis kuil.

Apabila memasuki kawasan itu, polis diserang dengan batu bata hingga beberapa anggota cedera sedangkan kami tidak menggunakan sebarang kekerasan termasuk pancutan air dan gas pemedih mata di dalam atau luar pekarangan kuil," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Selepas di Batu Caves, beberapa kumpulan berkumpul di sekitar KL Sentral, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Hotel Nikko dan Jalan Ampang.

"Di situ, polis menggunakan tindakan pencegahan paling minimum, iaitu pancutan air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka tanpa menggunakan kekerasan fizikal," katanya.

Musa menegaskan, polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan haram itu termasuk pemimpinnya.

"Polis mempunyai cukup bukti untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin, penganjur serta penunjuk perasaan terbabit," katanya sambil menjelaskan polis sudah memantau aktiviti Hindraf dalam tempoh tertentu.

Beliau berkata, polis sedia mengadakan rundingan dengan pemimpin kumpulan itu untuk menyerahkan memorandum kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain, tetapi tidak seorang pun pemimpin Hindraf yang kelihatan sehingga jam 1.30 petang.

"Mereka berucap dan pulang tanpa menyerahkan sebarang memorandum pun seperti diwarwarkan," katanya.

Pemimpin Hindraf termasuk Uthayakumar Ponnusamy, berucap di Jalan Ampang dekat Hotel Maya, kira-kira jam 10 pagi. Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan pemimpin DAP, Ronnie Liu, turut dilihat berucap di situ.

Beberapa ahli Majlis Peguam diketuai Haris Ibrahim, turut dilihat di beberapa lokasi seperti Jalan Ampang berdekatan Hotel Maya, Menara Berkembar Petronas dan Hotel Corus, untuk memantau perhimpunan itu.

Polis mengerahkan 4,000 anggota termasuk 640 dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan 500 anggota trafik untuk mengawal keadaan.

Tiga laluan masuk ke persimpangan Jalan Ampang/Jalan Tun Razak juga ditutup sejak jam 3 pagi, manakala dua stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Ampang Park dan KLCC hanya beroperasi selepas perhimpunan berakhir.

Kebanyakan premis perniagaan termasuk hotel dan restoran di Jalan Ampang dan kawasan sekitarnya termasuk Suria KLCC turut ditutup berikutan kebimbangan peniaga kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, penunjuk perasaan yang bersesak di sebuah stesen minyak di Jalan Ampang juga dilihat mengambil kesempatan mengambil makanan dan minuman tanpa membayarnya.

Tinjauan mendapati penunjuk perasaan melilit kain oren di kepala serta membawa gambar Mahatma Gandhi, kain rentang dan sepanduk sambil bersorak, mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan punggung ke arah polis.

Kira-kira jam 10.45 pagi penunjuk perasaan bergabung di kawasan persimpangan Jalan Tun Razak/Jalan Ampang dan berarak melepasi sekatan polis sehingga menghampiri Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain menyebabkan polis melepaskan pancutan air dan gas pemedih mata.

Kumpulan itu bersurai dan membentuk semula kumpulan besar di hadapan Ampang Park, kira-kira jam 11.30 pagi tetapi berjaya disekat FRU yang mengadakan halangan dalam lingkungan dua kilometer dari pejabat berkenaan.

Perhimpunan itu berakhir kira-kira jam 1.30 petang tetapi sebelum penunjuk perasaan bersurai sepenuhnya, sebuah laman web yang dikaitkan dengan Uthayakumar menyiarkan laporan berunsur hasutan dengan mendakwa berlaku serangan berbaur perkauman terhadap masyarakat India.

Laman web PoliceWatchMalaysia mendakwa seorang remaja lelaki India dibunuh di Lebuh Ampang ketika perhimpunan itu dan sehari sebelum itu satu kumpulan membakar sebuah bas serta 20 motosikal di luar kuil Batu Caves. Ia turut polis bertindak kejam terhadap masyarakat India yang menyertai perhimpunan itu.

Uthayakumar yang ditanya wartawan New Straits Times mengenai dakwaan itu, berkata: "Kami menerima maklumat yang belum disahkan dan memutuskan untuk menyiarkannya dalam laman web itu. Kami mahu polis menyiasat kejadian berkenaan."

Bagaimanapun, polis sehingga petang semalam tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan pembunuhan itu. Polis juga mengesahkan bas itu dibakar penunjuk perasaan yang bertindak balas terhadap arahan polis supaya bersurai.

Dalam temubual dengan stesen televisyen Al Jazeera pula, Uthayakumar mengakui demonstrasi jalanan itu diadakan untuk memalukan kerajaan yang didakwa meminggirkan masyarakat India sejak 50 tahun lalu.

1 comment:

odinpaderewski said...

Iron Spinner - Titanium Fidget Spinner 2 2 3 - Vitanium
Iron Spinner titanium gravel bike 2 grade 5 titanium 3.1 titanium fat biketitanium flask Spinning-Futures-Futures-Futures. iron titanium