KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) hari ini meminta kerajaan mengkaji semula cadangan untuk menaikkan tol sebanyak 10 peratus bagi lapan lebuh raya mulai 1 Januari depan.
Presiden FOMCA, Datuk Marimuthu Nadason berkata, kajian semula ini perlu memandangkan kos hidup yang kian meningkat dan kenaikan kadar tol pasti menambah beban pengguna.
“Sekiranya harga tol ini dibenarkan, ia akan menyebabkan reaksi rantaian terhadap harga barang kerana kenaikan kadar tol ini sudah tentu akan menyebabkan kos pengangkutan meningkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
“Kerajaan perlu mengkaji semula perjanjian itu sekiranya ia bersifat berat-sebelah dan hanya memihak kepada syarikat konsesi tersebut.
“FOMCA mahu kerajaan mengkaji semula perjanjian kenaikan kadar tol secara tetap bagi setiap tiga tahun," katanya.
Beliau turut meminta kerajaan mendedahkan butiran perjanjian konsesi lebuh raya agar rakyat dapat mengetahui isi kandungannya.
“Sebelum sesuatu semakan dibuat, syarikat pemegang konsesi perlu mendedahkan secara telus jumlah kutipan yang diterima dan kos penyelenggaraan yang perlu.
“Berdasarkan butiran tersebut barulah kerajaan mempertimbang sama ada wujud kewajaran bagi menaikkan harga tol,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment