Monday, September 24, 2007
Rusuhan Batu Burok? Cerita yang diputarbelitkan atau disengajakan?
Thursday, September 20, 2007
Kisah BABI, Peluru Hidup, Jalur Gemilang, Diversion, Mind Control Dan Perjuangan
Dari 21 September 2007 hingga 24 September 2007 saya akan berada di luar daerah. Kalau terdapat internet, saya akan update anda sekalian. Sekiranya tiada, saya harap para pembaca budiman renung-renungkanlah sedalam-dalamnya kisah BABI, kisah DAP, kisah BATU BURUK, kisah PELURU HIDUP, kisah JALUR GEMILANG dan seluruh kisah yang mencerminkan kepincangan mutakhir yang saya paparkan dalam blog ini kebelakangan ini.
Kepada saya, seluruh kisah di atas adalah komponen “bom jangka” di sekeliling kita seperti yang pernah saya bincangkan dalam salah satu posting saya baru-baru ini.
Ini bermakna, seluruh kisah tersebut tak boleh diremeh-temehkan oleh pihak pemerintah. Ini juga bermaksud, rakyat jelata juga perlu fokus. Jangan izinkan diri kita dipesongkan kepada cerita-cerita trivial seperti mati aksiden, tak makan juadah buka puasa kerana rumah terbakar, kisah artis saman orang yang mengintip rumahnya, dan sebagainya.
Kita mesti fokus. Kalau tidak, minda kita akan mudah dikuasai oleh kisah-kisah kemanusiaan - human interests - yang sengaja diketengah dan dibesar-besarkan untuk memesongkan pandangan umum daripada isu yang sebenar, lebih panas, serius, penting dan menjejas serta melibatkan kepentingan ramai.
Contoh paling klasik adalah kisah TEMBAKAN PELURU HIDUP dan BAKAR JALUR GEMILANG, di Terengganu. Kedua-dua insiden ini ada pertaliannya. Bukan daripada segi pihak yang melakukannya [seperti yang mahu ditonjolkan oleh pihak-pihak tertentu]. Tetapi, daripada segi matlamatnya.
Amalan polis untuk menembakkan PELURU HIDUP di sesuatu perhimpunan seperti yang terjadi di Batu Buruk, Terengganu, baru-baru ini, mempunyai undang-undangnya yang tersendiri.
Menurut GENEVA CONVENTION, pihak keselamatan hanya boleh menembakkan PELURU HIDUP kepada seseorang yang tidak bersenjata, sesudah dibuat satu tembakan amaran ke udara. Sesudah itu, kalau masih perlu ditembak juga peluru hidup, undang-undangnya menuntut supaya peluru itu ditembakkan ke bahagian bawah daripada pusat, dan khususnya di kaki.
Jadi, adakah polis ikut undang-undang Geneva Convention sewaktu melepaskan dua das tembakan PELURU HIDUP di Batu Buruk? Memang tak ada!! Jadi, adakah salah kalau rakyat jelata berasa kesal dan marah dengan tindakan itu? Memang tidak salah, malahan wajar berasa marah!! Jadi apa nak buat? Polis mengaku bersalah? Oppp... Jauh sekali!!!
Lantas, macam mana nak alihkan kemarahan umum terhadap peristiwa tembakan PELURU HIDUP itu? Cari jalan diversion atau pemesongan la... Caranya? Cipta satu kisah yang terkini, penuh sensasi dan kontroversi..
Lantaran itu, wujudlah kisah kononnya ada sekumpulan pemuda liar [dipropagandakan sebagai ahli PAS] yang membakar JALUR GEMILANG.. Isu ini menangkap minat umum kerana ketika itu kita baru saja mengibar dan menjulang JALUR GEMILANG sempena perayaan 50 Merdeka.
Bijak diversion ini. Cukup bijak!!! Dengan terciptanya diversion ini, kisah tembakan PELURU HIDUP ditenggelamkan. Dengan terciptanya kisah ini, kisah POLIS BERSIKAP GANAS bertukar kepada kisah PEMUDA GANAS DAN TIDAK PATRIOTIK. Dengan terciptanya diversion ini, kisah PAS yang hangat menuntut keadilan daripada pemerintah ditenggelamkan dengan TUDUHAN UMNO TERHADAP PAS KONONNYA SEBAGAI DALANG DI BELAKANG PEMBAKARAN JALUR GEMILANG.
Kini, kisah MEMBAKAR JALUR GEMILANG sentiasa dihidupkan oleh media perdana. Kini kisah TEMBAKAN PELURU HIDUP hanya dapat dukungan dan perhatian positif menerusi media internet. Makin lama, rakyat jelata pasti akan lupa bahawa TEMBAKAN PELURU HIDUP oleh polis itu adalah salah. Makin lama, akan tertanamlah di benak rakyat bahawa PEMBAKARAN JALUR GEMILANG DI TERENGGANU ADALAH PENGKHIANATAN, walau pun peristiwa itu mungkin dilakukan oleh pihak-pihak yang mahu melakukan diversion kepada KISAH PENEMBAKAN PELURU HIDUP DI BATU BURUK...
Jadi, apa harus kita lakukan untuk menangkis kesan mind control dan propaganda menerusi diversion seperti ini? Media perdana tersebar luas. Media internet hanya terhad kepada pemilik komputer dan golongan celik ICT. Jadi, bagaimana?
Sebagai usaha awalan, cuba anda downloadkan seluruh kisah-kisah di atas yang anda perolehi daripada internet. Lepas tu, anda fotokopikan tiga salinan setiap jodol. Bila anda cuti HarI Raya ni, anda bawalah balik ke kampung masing-masing. Jadikanlah topik itu sebagai bahan perbualan di Hari Raya.....
Selepas itu, anda carilah jalan lain bagaimana maklumat-maklumat yang dipendam dan dipesongkan oleh pihak tertentu boleh kita tangkis dan atasi secara berkesan dan disebarkan pula secara meluas?
Buatlah sesuatu. Insaflah. Apa gunanya perjuangan kita kalau sekadar marah-marah seperti anjing menyalak bukit? Apa gunanya perjuangan hangat-hangat tahi ayam, dan lepas itu jadi masuk angin keluas asap?
Mayat dalam beg disahkan Nurin Jazlin
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata ujian darah ke atas mayat dan juga ibu bapa Nurin Jazlin mengesahkan hubungan antara kedua-dua pihak.
Katanya, ibu bapa Nurin Jazlin telah dimaklumkan tengah hari ini mengenai keputusan DNA itu.
Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang pada 20 Ogos setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam yang berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.
Mayat budak perempuan yang tidak berbaju yang dipercayai menjadi mangsa deraan seks ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1 pada pagi Isnin lepas.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil, 33, seorang pemandu teksi enggan menerima keputusan DNA itu bahawa mayat kanak-kanak itu adalah anaknya.
"Saya ayah Nurin... Saya lebih mengenali anak saya dari semua orang. Dalam hati saya berkata mayat itu bukan anak saya.
"Jika polis suruh saya ambil mayat tersebut, saya akan terima, saya akan mandikan dan akan mengebumikannya.
"Tetapi saya hendak polis teruskan usaha mencari Nurin kerana saya tahu Nurin masih berada di luar sana dalam keadaan selamat," kata Jazimin kepada pemberita di perkarangan bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Jazimin juga berkata beliau pasti mayat itu bukan anaknya berdasarkan keadaan gigi dan parut yang dipunyai oleh Nurin.
Nurin, katanya, mempunyai kedudukan gigi yang rapat dan mempunyai parut akibat luka di pangkal pehanya.
Jazimin berkata beliau dimaklumkan mengenai keputusan DNA tersebut pada pukul 12.30 tengah hari oleh polis daerah Petaling Jaya dan diminta datang ke bilik mayat HKL untuk membuat pengecaman semula mayat tersebut
Sebelum ini, Jazimin dan isterinya Norazian Bistaman, 35, telah dipanggil untuk proses pengecaman di HKL pada Isnin lepas dan tidak mengaku mayat itu anaknya, Nurin berdasarkan kepada keadaan fizikal kanak-kanak yang ditemui itu.
Norazian yang kelihatan sugul ketika ditemui pemberita berkata beliau rela menerima sebarang keputusan pihak berkuasa.
"Apa lagi yang boleh saya kata. Keputusan DNA menunjukkan itu anak saya. Saya reda dengan kehendak Ilahi.
"Sebagai seorang ibu saya masih berharap bahawa itu bukan anak saya, ibu mana yang sanggup terima kenyataan bahawa anaknya diperkosa dan dibunuh begitu kejam.
"Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan kesedihan yang saya alami," katanya dengan linangan air mata.
Norazian berkata sekiranya Nurin Jazlin selamat ditemui, perayaan Hari Raya Aidil Fitri tahun ini adalah yang paling bermakna dalam hidupnya.
ANCAMAN PERUBAHAN IKLIM GLOBAL
ANCAMAN PERUBAHAN IKLIM GLOBAL
Perubahan iklim global merupakan ancaman yang mungkin tidak disedari dan kurang diberi perhatian oleh masyarakat kini. Di Malaysia, masih terdapat segelintir masyarakat yang memandang enteng permasalahan ini. Perubahan iklim global biasanya dikaitkan dengan peningkatan suhu dunia yang merupakan satu proses kompleks serta memakan masa yang panjang.
Negara | Tahun | Pembebasan gas rumah hijau (juta tan) |
| 1990 1994 | 138.0 144.0 |
| 1990 | 225.0 |
| 1990 | 572.0 |
Jepun | 1990 1994 | 1,215.9 1,276.1 |
Amerika Syarikat | 1990 1994 | 5,895.9 6130. |
Pembebasan gas rumah hijau oleh negara-negara terpilih
Sumber:
Perubahan iklim dunia dilihat mengancam keselamatan manusia dan negara iaitu dari aspek fizikal dan psikologi. Gabungan keduanya sudah tentu menimbulkan krisis kepada kesejahteraan rakyat, keselamatan/ketenteraman awam, kestabilan politik dan keutuhan ekonomi sekiranya tidak diuruskan dengan baik.
Antara kesan fizikal perubahan iklim dunia kepada negara adalah seperti berikut:-
Ekonomi
Ekosistem
Ini kerana tumbuhan hijau berperanan sebagai perangkap dan pengguna utama karbon dioksida bagi proses fotosintesis. Penjejasan kepada ekosistem akibat kerakusan manusia akhirnya akan memakan diri dan membawa bencana kepada manusia sendiri. Tanah runtuh, banjir lumpur dan kekurangan sumber merupakan antara kesan penjejasan ke atas ekosistem dan tidak mustahil pada masa akan datang negara berhadapan dengan krisis yang lebih besar.
CABARAN-CABARAN YANG DIHADAPI
Peranan Masyarakat
Perubahan iklim dunia dan pemanasan global yang mengundang pelbagai permasalahan sewajarnya menyentap kesedaran semua manusia di seluruh dunia agar lebih menghargai alam sekitar. Walaupun negara berada dalam suasana yang aman, namun hakikatnya tanpa disedari, sebenarnya negara berhadapan dengan ‘peperangan’ yang mengancam keselamatan rakyat yang bernaung di bawahnya. Perubahan iklim global yang melanda dilihat merungkai kerakusan yang berpunca daripada manusia sendiri. Ini memerlukan usaha dan kerjasama dari semua lapisan masyarakat dan juga komuniti antarabangsa dalam memelihara alam sekitar agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
“Kita bukan mewarisi alam ini daripada datuk nenek kita tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita”
Wednesday, September 19, 2007
Jenayah di Malaysia mula menakutkan!
Contohnya penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang disumbat dalam beg pakaian, di Petaling Jaya Utama, kelmarin. Laporan akhbar hari ini dipetik, bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati ususnya pecah dan mengalami pendarahan teruk bahagian dalam perut akibat disumbat benda keras yang dipercayai timun dan terung.
Kes-kes seperti itu menggambarkan negara ini tidak selamat dan perlukan kepekaan dan tindakan drastik kerajaan. "Sangat sedihlah dan sebagai seorang bapa saya sendiri bimbang tentang keselamatan anak-anak pada hari ini. "Maknanya penjaga kena berhati-hati dan tidak boleh biarkan anak-anak sendirian dan kepada ibu bapa mereka kena ingat negara kita tidak selamat," Oleh kerana itu kerajaan perlu bersungguh-sungguh untuk menangani kes-kes seperti itu berulang.
Tuesday, September 18, 2007
Pulau Batu Puteh tetap milik Malaysia!
Adakah kita bakal kehilangan satu lagi 'wilayah' ke tangan Lee Kuan Yew Co.?
Desas desus sudah bertiup, kita mungkin kecundang dan Pulau Batu Putih yang strategik akan menjadi milik Singapura selama-lamanya.
Jika itu berlaku, Singapura sentiasa mengasak kita dan mereka lebih bersedia dari segala sudut untuk menjadikan kita sentiasa terundur.
Dalam keadaan Singapura sentiasa bersedia dengan pelbagai agenda 'Singapore Win', kita pula mudah lalai dan alpa.
Untuk membangunkan WPI, kita terpaksa menjemput Singapura duduk dalam Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dua negara berdaulat untuk memajukan wilayah kita. 2,217 sq km tanah Johor akan 'diurus' bersama dengan Singapura, melalui Jawatankuasa Bersama.
Hikayat Munshi Abdullah mencatitkan, format seakan Jawatankuasa Bersama ini pernah ditubuhkan oleh Raffles. Rakyat Melayu diurus oleh Temenggong Husin, rakyat bukan Melayu diurus oleh Orang Putih.
Pelbagai konsekuen politik akan muncul kemudian. Pada waktu itu, kita sudah terlambat. Sama seperti isu penguasaan Singapura ke atas bekalan air yang membelit kita sekarang.
Mengapa tidak Pak Lah belajar dari Tun M yang telah melaksanakan program strategik Pelabuhan Tanjung Pelepas?
Pelabuhan Tanjung Pelepas adalah ancaman kepada Singapura. Ia bertujuan mengecilkan peranan Singapura dan negara kita mengambilalih sebahagian peranan dan kekuatan yang selama ini menjadi monopoli SIngapura selama beberapa abad.
Ia berjaya. Tanpa kerjasama Singapura.
PTP telah menerima kapal pertama pada 10 Oktober 1999 untuk operasi percubaan selama tiga bulan, ia telah memecah rekod menjadi pelabuhan yang paling pantas berkembang. Ia menguruskan 1 juta TEUs (Twenty-Foot Equivalent Units) kontena selama 571 hari operasi.
Dari hanya 20,696 TEUs pada akhir 1999, telah berkembang kepada 2.05 juta TEUs pada 2001, 2.66 juta tahun 2002, 3.87 juta TEUs pada 2003 untuk mengatasi kedudukan Pelabuhan Kelang. Port Tanjung Pelepas dengan itu menjadi pelabuhan terbesar negara kita.
Pada tahun 2004, ia meningkat 15.2 % lagi, menjadikannya pelabuhan yang ke 16 tersibuk di dunia. Pada 2006, ia menguruskan 4.7 juta TEUs.
Ia meletakkan dirinya sebagai pilihan kepada Pelabuhan Singapura.
Maersk Sealand, operator kapal kontena terbesar dunia, memindahkan semua operasi perkapalannya di Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas pada tahun 2000. Singapura menyaksikan kejatuhan 10% perniagaan pelabuhannya kerana tindakan itu.
Pada 2002, Evergreen Marine Corporation, pada waktu itu, syarikat perkapalan kedua besar dunia pula, memindahkan operasinya dari Singapura.
Sekilas fakta ini, membuktikan bahawa, pembangunan sehebat Tanjung Pelepas boleh dilakukan tanpa Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dengan mana-mana negara asing yang memungkin pengaruh dan penentuan terma-terma yang boleh merugikan kita boleh berlaku.
Apa perlunya Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dengan Singapura untuk WPI?
Apakah kita tidak mempunyai keupayaan merancang sendiri, seperti telah kita buktikan dalam kes Tanjung Pelepas?
Apa lagi jika bentuknya hanya untuk menjual tanah kepada Singapura?
Sunday, September 16, 2007
Yang Cemerlang dan Yang Kandas
Saya sedar bahawa amat salah untuk menjadikan ‘kilang’ sebagai analogi kepada sekolah-sekolah kita. Namun saban tahun kita sering meuar-uarkan dalam media massa tentang pencapaian cemerlang sekolah-sekolah tertentu, khususnya sekolah-sekolah berasrama penuh. Lalu, kita juga mengangkat tenaga pengajar sekolah-sekolah hebat ini sebagai tenaga pengajar yang proaktif, beriltizam tinggi, lebih bijak, pandai mendidik, menggunakan teknik pengajaran yang canggih dan kualiti-kualiti lain yang menjustifikasikan pencapaian cemerlang sekolah tempat mereka bertugas. Dengan itu juga kita lupa bahawa bahan mentah yang masuk ke sekolah-sekolah sedemikian adalah bahan-bahan berkualiti yang telah ditapis atau disenaraipendekkan. Lebih malang lagi kita jarang mahu mengetahui apakah masalah sekolah-sekolah yang corot dalam pencapaian Peperiksaan Nasional itu.
Dalam suatu seminar ‘Outcome Base of University Education’ yang pernah saya hadiri, penceramah pernah membangkitkan isu guru-guru daripada sebuah sekolah menengah yang ‘tercorot’ keputusan Peperiksaan SPM-nya yang mencabar Pegawai Pendidikan Daerah supaya menukarkan semua guru dari sekolah yang dikategorikan hebat supaya mengajar di sekolahnya yang rata-rata terdiri daripada anak-anak pekerja kilang dan pelajar-pelajar yang genjot iltizam mereka: untuk melihat sejauh mana hebatnya guru-guru sekolah cemerlang berkenaan. “Adakah guru yang cemerlang atau pelajarnya yang sememangnya cemerlang, yang sudah ditapis dan sedia cemerlang?” Atau secara analoginya ‘bahan mentahnya’ sudah sedia cemerlang.
Malah seorang bapa di Bandar Baru Bangi, yang namanya tidak mahu didedahkan, telah memberitahu saya bahawa anaknya yang dihantar ke salah sebuah Sekolah Menengah Sains telah meminta ayahnya mengeluarkannya daripada sekolah tersebut kerana guru-gurunya yang tidak bersungguh-sungguh dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Malah pada suatu ketika semasa pengajian saya di England, rakan-rakan bekas lulusan Sekolah Menengah Sains menyatakan bahawa perolehan keputusan cemerlang di Sekolah Menengah Sains adalah sebahagiannya kerana soalan-soalan ramalan Peperiksaan Nasional yang hampir menyamai soalan-soalan sebenar peperiksaan dan bukannya kehebatan guru-gurunya. Pastinya kita boleh mencabar dakwaan sedemikian kerana guru juga memainkan peranan utama. Pembolehubah yang lain dalam hal kecemerlangan sekolah sedemikian dikatakan berasaskan kecemerlangan pelajar itu sendiri. Walau bagaimanapun bukan isu ini yang hendak saya ketengahkan.
Setiap kali apabila keputusan Peperiksaan Nasional yang diduduki oleh pelajar-pelajar sekolah kita, baik di peringkat UPSR, PMR, SPM dan STPM diumumkan, kita sering akan membicarakan keputusan cemerlang yang dicapai oleh sekolah-sekolah tertentu dan lebih riuh lagi, keputusan individu tertentu di kalangan pelajar-pelajar kita. Lalu jika ada anak-anak kita yang telah menduduki peperiksaan sedemikian maka jiran-jiran, rakan sekerja, ahli keluarga dan kenalan kita akan menelefon dan bertanya tentang berapa ‘A’ yang telah diperolehi. Maka ada yang menjawab dengan megahnya, dan ada yang menjawab tanpa ditanya kerana anak-anak mereka mendapat banyak ‘A’ yang seharusnya dibanggakan. Itu bukan suatu kesalahan pada pandangan kita. Itu baik kerana budaya ‘kecemerlangan’ harus diangkat dan dijulang dalam sfera masyarakat. Maka pelajar hebat seperti Amalina, sebagai contoh, menjadi idola, malah ada yang cuba pula menipu untuk mengalahkan Amalina.
Seorang guru yang amat saya kenali di Shah Alam pada beberapa tahun yang lalu, telah menangis kesedihan yang amat sangat apabila keputusan UPSR anaknya diumumkan. Kebetulan anaknya yang mengambil peperiksaan UPSR itu juga bersekolah di sekolah tempat dia mengajar. Dia menangis bukan kerana anaknya gagal mendapat keputusan 5A. Sebaliknya dia menangis kerana setelah semua guru-guru bertungkus-lumus sepanjang dua tahun mengerah tenaga untuk melahirkan pelajar cemerlang di sekolahnya, hanya anak dia sahaja satu-satunya yang mendapat keputusan cemerlang 5A.
Dengan budaya memuja kecemerlangan yang sedemikian kita berlumba-lumba untuk memastikan bahawa anak-anak kita cemerlang. Kita menghantar anak-anak ke pusat tuisyen. Guru-guru juga ghairah mencari ruang untuk mendapatkan pendapatan tambahan dengan menjadi guru tuisyen. Daripada pengalaman rakan-rakan di kalangan guru, saban malam sesetengah daripada mereka akan bertungkus-lumus ke sana ke mari kerana keterlibatan mereka sebagai guru tuisyen. Namun kita lupa orientasi kelas-kelas tuisyen ialah peperiksaan, soalan ramalan, skema soalan peperiksaan dan skema jawapan peperiksaan; amat malanglah jika soal moral, nilai murni dan disiplin diletakkan ke tepi.
Kerana ramai yang telah belajar di pusat-pusat tuisyen terutamanya pada tahun-tahun yang mereka akan menghadapi Peperiksaan Nasional, maka saya pasti terdapat keselesaan guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah. Tanggapan ‘prakonsif’ bahawa pelajar telah menggarap kemahiran dan ilmu daripada pusat-pusat tuisyen pastinya memberikan impak negatif kepada guru-guru untuk mengembleng tenaga mereka di bilik-bilik darjah. Lalu kita lihat yang akan menjadi mangsa ialah anak-anak daripada keluarga kurang berada; yang tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen. Lalu sebahagian daripada mereka ini akan menjadi calon ‘pelajar kandas’ yang berkontradik dengan ‘pelajar cemerlang’.
Dengan senario sedemikian itu juga kita lupa bahawa di tengah-tengah kehadiran pelajar cemerlang itu telah wujud koloni para pelajar yang berkompleks inferioriti dan melihat masa depan mereka dengan penuh kekaburan dan tandus keyakinan. Sesetengah daripada mereka menghadapi tekanan kerana terabai dari segi pergaulan di sekolah, pandangan negatif guru-guru, dan ditindan-tindih dengan kedaifan keluarga yang kurang berkeupayaan. Sesetengahnya juga menjadi agresif, kurang disiplin, mula menubuhkan koloni mereka yang tersendiri dan terdedah dengan pelbagai gejala seperti gangsterisme, dan kumpulan kongsi gelap.
Pelajar yang saya labelkan sebagai calon ‘kandas’ ini sesetengahnya pula memang buta huruf, walaupun mereka bukannya lembam. Kerana orientasi masyarakat kita yang terlalu menekankan pencapaian peperiksaan, keputusan cemerlang dan menyanjung tinggi pelajar cemerlang, pelajar kandas ini telah kita pinggirkan dan kita biarkan begitu sahaja tanpa ada suatu strategi yang tuntas dan berkesan untuk memulihkan mereka. Lazimnya sekolah-sekolah kita melepaskan tangan dan membiarkan pelajar-pelajar kandas ini berlarutan dengan sikap, tingkah laku dan pencapaian corot mereka. Mereka ini seakan-akan disembunyikan apabila laporan-laporan kepada Pegawai Pendidikan Daerah jarang sekali mengangkat isu ini. Ironinya sekolah-sekolah yang pencapaiannya rendah akan ‘dihentam’ dan akhirnya ‘hentaman’ itu tertuju kepada guru-guru yang lelah, dan kecewa kerana ‘bahan-bahan mentah’ yang mereka terima sudah sedia buruk sehingga menjadi mustahil untuk menjadi produk cemerlang.
Berdasarkan satu temubual saya dengan seorang guru di salah sebuah sekolah di Bandar Baru Bangi, pada tahun ini di sekolahnya terdapat kira-kira 15-20 peratus pelajar dalam Tingkatan Tiga dan Lima yang masih buta huruf atau separa buta huruf. Mereka bukan sahaja bakal menjadi calon-calon kandas, tetapi sesetengahnya menjadi pengganggu kepada sistem pembelajaran-pengajaran di bilik darjah kerana disiplin mereka yang rendah, kerap ponteng sekolah, agresif, biadap dan mengancam kerja-kerja guru.
Gejala yang serantaian seperti menganggu pelajar-pelajar lain, merosakkan harta benda sekolah, mengugut guru-guru, agresif, suka bergaduh, terlibat dengan gangsterisme, dan gejala lain yang memesongkan mereka daripada nilai murni sering kita lihat di kebanyakan sekolah menengah (sila lihat Utusan Online tentang gejala gangsterisme dan pelajar ganas di sekolah pada: 28 April 2004, 26 April 2004, 25 Jan 2004, 15 Ogos 2000, 25 April 2000, dan 3 Mac 2000). Hal ini mengheret permasalahan serius di sekolah kita kerana golongan pelajar yang saya lihat sebagai ‘malang’ ini seringkali kita abaikan tanpa perhatian serius, tidak seperti calon-calon pelajar cemerlang yang dipuja, dijulang dan diberi ruang yang amat luas untuk kejayaan masa depan mereka.
Dengan menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai kajian kes mini, saya dapati bahawa iltizam murni Jabatan Pendidikan Daerah mewujudkan Sekolah Menengah Khas untuk pelajar cemerlang UPSR telah membangkitkan suatu paradoks kerana projek sekolah tersebut telah menarik keluar pelajar-pelajar cemerlang dari kawasan ‘catchment’ tertentu seperti Sek Men Jalan Reko. Lalu yang tertinggal di kawasan catchment itu ialah pelajar-pelajar yang kurang beriltizam dan yang menjadi masalah ialah sesetengahnya ialah calon-calon pelajar kandas.
Namun keadaan menjadi lebih parah apabila sebahagian daripada pelajar-pelajar dan guru-guru di kawasan catchment ini, daripada aspek psikologinya, telah tercalar motivasi mereka, muram, dan tebal dengan kompleks inferioriti kerana komposisi pelajar yang rata-rata dipenuhi oleh para pelajar yang rendah pencapaian mereka. Hal ini dibebankan lagi apabila 90 peratus guru-gurunya adalah wanita yang saya pasti kurang berkesan untuk menangani pelajar-pelajar lelaki yang agresif, bermasalah, dan rendah tahap disiplin mereka, dan kerap kali hanya menjadikan guru-guru bahan lelucon mereka.
Pada tahun 2007 saja misalnya terdapat enam orang guru wanita di salah sebuah sekolah menengah di Bandar Baru Bangi, yang ‘keguguran’ kerana stres akibat yang dipercayai berpunca daripada sikap dan tingkah-laku pelajar-pelajar yang ‘biadap’ dan disiplin yang rendah. Bayangkan bagaimana terganggunya emosi guru-guru akibat sikap pelajar yang biadap, mengganggu pengajaran guru, mengganggu pelajar lain, tidak membuat kerja rumah, bising semasa proses pembelajaran-pengajaran. Emosi guru yang terganggu akan menjejaskan tumpuan guru itu sendiri dan akhirnya proses pembelajaran-pengajaran menemui kegagalan. Guru kecewa dan pelajar terbiar. Yang menjadi mangsa ialah golongan pelajar yang bersungguh-sungguh hendak belajar. Akhirnya gejala ini berlarutan.
Sistem persekolahan di negara ini tidak menyediakan kelas pemulihan; apa yang wujud ialah kelas pemulihan untuk pelajar lembam (yang dijustifikasikan oleh pemeriksaan doktor pakar), bukannya untuk pelajar ‘kandas’. Memang ada kelas peralihan, tetapi konsep kelas-kelas peralihan ini disediakan untuk para pelajar lepasan Darjah Enam yang datang daripada Sek Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil bagi memantapkan penguasaan Bahasa Malaysia mereka dan bukannya khusus untuk tujuan pemulihan.
Sekolah-sekolah kita juga menghadapi masalah kerana komposisi guru-guru wanita dan lelaki tidak seimbang malah di sekolah-sekolah tertentu kadar guru lelaki kepada guru wanita ialah 2:8 dan sesetengahnya 1:9. Tidak dinafikan banyak faktor lain yang menekan seperti bilangan pelajar yang padat dalam satu-satu bilik darjah (sehingga lebih 40 orang pelajar), persekitaran sosial yang tidak sihat, masalah inflasi/ekonomi, pengaruh urbanisasi, gejala konsumerisme, dan hedonisme yang kental.
Saya percaya bahawa wujud korelasi yang tinggi antara kewujudan pelajar kandas pada masa lalu dengan kes-kes jenayah masakini: gangsterisme, ragut, rompak, pecah rumah, curi motosikal, dadah, seks bebas, rogol, Mat Rempit, dan gejala lain.
Saya juga percaya bahawa wujud di kalangan pelajar kita golongan ‘late developer’ sedangkan sistem persekolahan kita mengasak, mengheret dan menolak mereka ke peringkat atas tanpa proses pemulihan dan penapisan. Setiap pelajar mempunyai potensi mereka yang berbeza, dan dari aspek psikologi pendidikan mereka juga menuntut pendekatan yang berbeza dalam proses pengajaran-pembelajaran.
Saya masih ingat lagi bagaimana tindakan korporal digunakan untuk menangani masalah disiplin di sekolah-sekolah kita pada tahun-tahun 60-an dan 70-an dahulu. Hari ini kita menolak sistem sedemikian dan kemudiannya kita berhadapan dengan kes-kes pelajar memukul guru, mengugut guru malah menggunakan samseng untuk berindak ganas ke atas guru-guru yang sebenarnya mahu menjadikan mereka manusia mulia (sila lihat Utusan Online 12 Sep 2006, 6 Sep 2006, 4 Sep 2006, 24 Sep 2005).
Saya percaya sudah sampai masanya kita mewujudkan ‘Sekolah Khas Pemulihan Pelajar’ bagi mengatasi masalah disiplin yang rendah di sekolah-sekolah menengah di seluruh negara, seiring dengan penubuhan sekolah-sekolah berasrama penuh yang mengangkat dan memuja para pelajar cemerlang. Kita harus kesan kewujudan pelajar-pelajar yang rendah tahap disiplin mereka untuk ditempatkan di sekolah-sekolah pemulihan ini, sekurang-kurangnya untuk selama setahun. Konsep Sekolah Khas Pemulihan Pelajar ini hendaklah dipisahkan daripada konsep ‘sekolah jahat’ seperti Sekolah Henry Gurney, kerana kemasukan pelajar-pelajarnya ditentukan oleh mahkamah juvenil.
Setelah mengikuti pendidikan di sekolah pemulihan khas ini, dan sekiranya laporan pemulihan mereka memuaskan barulah mereka boleh dibenarkan kembali semula ke sekolah asal mereka. Guru-guru di sekolah pemulihan ini hendaklah guru-guru terlatih bagi mendidik pelajar kandas, agresif, ganas dan memulihkan mereka sebelum mereka kembali kepada sekolah yang sewajarnya.
Kita tidak mahu mewujudkan konsep penjara untuk anak-anak muda yang masih mentah ini, namun kita harus sedar bahawa golongan ini tidak boleh dibiarkan bercampur dengan pelajar-pelajar lain yang ada harapan untuk berjaya dan mungkin diangkat sebagai pelajar cemerlang di peringkat PMR, SPM dan STPM.
Kita sudah sekian lama menghapuskan sistem penapisan melalui PMR. Pada masa kini semua pelajar, sama ada yang lulus PMR, atau tidak, secara automatiknya dibenarkan masuk ke Tingkatan Empat. Sedangkan kita tahu ada di antara mereka yang buta huruf dan ketinggalan dalam banyak aspek pendidikan asas. Golongan ini akan terus tenggelam sehingga mereka ke Tingkatan Lima. Bayangkanlah jika mereka meninggalkan bangku sekolah dengan sifat buta huruf, bebal, ganas dan agresif.
Golongan calon pelajar kandas ini pada pengalaman dan pada perkiraan saya, akan menjadi pengganggu kepada proses pengajaran-pembelajaran di bilik darjah. Sedangkan kita tahu bahawa dari aspek psikologi remaja, zaman remaja antara 13 – 17 tahun adalah zaman yang ‘tegang dan memberontak’ yang harus ditangani dengan bijaksana dan dengan kepelbagaian strategi. Sekolah Khas Pemulihan Pelajar ini mungkin boleh menjadi suatu ‘sistem penapisan pelajar’supaya proses pengajaran dan pembelajaran di bilik-bilik darjah Tingkatan Empat dapat berjalan lancar dan selesa.
Gelombang Kedua Internet
Saturday, September 15, 2007
Keperluan suruhanjaya diraja dan murahnya nyawa rakyat Malaysia
Pada tanggal 8 September lalu, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang menghadiri majlis jemputan ceramah BA di Perak manakala Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa menghadiri majlis makan malam perdana anjuran PAS Kawasan Kelana Jaya bersama Dato' Dr Hasan Ali di Gleanmarie.
Tidak ada siapa yang menjangkakan suatu tragedi besar akan meletus pada malam tersebut di Kuala Terengganu. Ceramah anjuran Bersih pada malam itu di Batu Burok, Kuala Terengganu merupakan sebahagian dari program jelajah atau roadshow anjuran Bersih yang sebelum ini berjalan lancar di negeri-negeri lain termasuklah Perak dan Pahang tanpa sebarang insiden.
Esoknya hari Ahad, Presiden dan Timbalan Presiden dijangka berlepas sebelah petangnya ke Kota Bharu bagi menghadiri mesyuarat pertama Majlis Syura PAS Pusat, setelah tempoh majlis yang lepas berakhir. Semuanya jadual berjalan lancar menurut aturan.
Tiba-tiba sebelah malamnya, hari Sabtu 8 September tersebut, tanpa disangka-sangka suatu tragedi berdarah telah tercetus di Batu Burok, Kuala Terengganu. Ceramah yang dijadualkan dihadiri oleh Mohamad Sabu (Naib Presiden PAS), Tan Sri Khalid Ibrahim (Setiausaha Agung PKR) dan Leong Ngah Ngah (AJK Pusat DAP) itu rupanya tidak dapat dilangsungkan.
Pihak polis telah enggan memberikan permit atas alasan-alasan yang dirasakan tidak munasabah kerana premis milik ahli PAS itu sebelum ini telah berkali-kali menjadi tuan rumah kepada program-program ceramah PAS.
Orang ramai yang mula membanjiri Kuala Terengganu untuk menuju ke tapak ceramah telah dihalang oleh pihak polis melalui sekatan jalanraya yang diadakan. Akibatnya orang ramai berkerumun di sana sini sekitar Batu Burok, tanpa menyedari yang majlis ceramah telah dibatalkan atas keenganan pihak polis memberikan permit.
Ketegangan mula membara apabila pihak polis tanpa mengunakan diplomasi dan budibicara telah bertindak merobohkan pentas di tapak ceramah. Dan dalam keadaan gawat itu, terdapat pula pihak-pihak tertentu yang senagaja melakukan provokasi bagi merangsang orang-ramai agar bertindak liar.
Beberapa petugas PAS yang memang terlatih untuk mengenal-pasti agen provokator seperti ini, telah bertindak memegang dan menahan tuan punya badan, rupa-rupaya si agen provokator itu adalah seorang anggota polis yang tidak beruniform dan dalam kekalutan itu telah bertindak melepaskan tembakan ke arah mereka yang cuba menahannya, kononnya atas alasan mempertahankan keselamatan diri dan keselamatan wanita dan kanak-kanak di situ.
Dua orang ahli PAS telah terkena peluru hidup yang dilepaskan oleh anggota polis tadi. Kedua-duanya tercedera parah dan seorang terpaksa dikejarkan ke HUSM Kubang Kerian, bagi mencungkil keluar peluru yang telah bersarang di paru-parunya.
Dan kini berbagai teori dan andaian terbit tentang bagaimana kejadian ini boleh terjadi. Media arus perdana seperti biasa menggambarkan seolah parti-parti pembangkanglah yang menjadi dajal sehingga tercetusnya tragedi ini. Istilah rusuhan dan huru-hara dengan mudah sahaja dilontar dan dilambakkan di dada-dada akhbar mereka.
Bagi PAS tragedi ini sungguh malang kerana sekali lagi ahli-ahli dan penyokongnya menjadi mangsa kerakusan pihak polis yang sudah pasti menerima tekanan dari pihak atasan politik.
Kali ini mereka bukan sekadar disemburkan dengan pancutan air dan dianianya dengan gas pemedih mata, ada juga ditangkap dan dibelasah. Tetapi yang lebih malang adalah sehingga ada yang ditembak dengan peluru hidup.
Penggunaan peluru hidup terhadap orang awam seumpama ini, yang popular satu ketika dahulu dizaman apartheid di Afrika Selatan kini diamalkan pula oleh polis kita dalam suasana kita masih meraikan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-50.
Apakah begitu murah nyawa rakyat kita sehingga peluru yang sepatutnya dihalakan kepada para penjenayah dan musuh negara dihalakan pula terhadap rakyat sendiri yang mendukung sistem demokrasi yang sepatutnya menjadi amalan negara.
PAS sebagai sebuah parti politik sepanjang usia negara ini tidak pernah menggunakan keganasan untuk meraih kuasa. Ia bertanding dalam pilihan raya, pernah menang dan pernah juga kalah, tetapi tidak pernah dirasuk oleh nafsu sehingga mahu menjadi juara keganasan, kerana jika demikian ternyata rakyat Malaysia nanti akan menolak mereka dalam pilihan raya umum.
Pihak polis juga kita yakin mahu menjadi pengawal kemanan yang profesional. Tidak ada untungnya jika mereka dikenali dengan imej ganas dan bengis (apalagi rasuah) keran ia hanya akan mencacatkan imej negara dan memberi kesan kepada ekonomi.
Jika PAS tidak mahu keganasan, pihak polis juga begitu, maka siapakah yang akan untung sebenarnya dalam tragedi ini. Sudah tentulah seteru politik PAS. Apabila PAS digambarkan ganas, merosakkan harta awam, membakar jalur gemilang, memukul polis, maka imejnya akan menjadi buruk dan rakyat akan takut untuk mengundi mereka. Kalau demikian sudah pastilah yang untung dan tersengeh lebar adalah Umno!
Kerana itu PAS menuntut agar satu Suruhanjara Diraja yang bebas dibentuk untuk menyiasat dan mencungkil punca-punca utama penyebab dan penyumbang kepada tragedi ini.
Siapa sahaja yang bersalah perlu dipertanggungjawabkan atas kesalahn mereka itu. Lebih-lebih lagi jika da pihak yang sengaja merancang untuk mencetuskan tragedi ini, merteka ini perlu didedahkan dan diambil tindakan.
Rakyat berhak mengetahui punca utama berlakunya tragedi ini. Dan sehingga sebuah suruhanjaya seumpama ini dibentuk, maka selama itulah (berjaya usaha Umno bahawa) yang jahat adalah PAS walaupun yang membatalkan ceramah bukannya PAS dan yang melepaskan tembakan peluru hidup juga bukan PAS!
http://www.harakahdaily.net/
12 persoalan besar di Batu Buruk belum terjawab
Dua mangsa tembakan ‘peluru hidup’ polis yang masing-masing dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan juga dilaporkan beransur sembuh.
Namun insiden yang dianggap paling buruk di Terengganu sejak dua dekad ini nampaknya tidak terhenti setakat penahanan, pendakwaan mahu pun rawatan kepada yang mengalami kecederaan sahaja.
Ia turut menimbulkan persoalan dan perbahasan mengenai keselamatan, integriti pasukan polis dan patriotisme rakyat. Isu ini menjadi isu nasional.
Ia berkumandang lewat perbahasan dan usul di Dewan Rakyat. Ia juga mengundang memorandum oleh Badan Gabungan Tuntutan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) kepada Ketua Polis Negara.
Di Kuala Terengganu sendiri, insiden itu masih menjadi buah tutur masyarakat. Di kedai kopi, stesen minyak, pejabat, surau dan masjid, mahu pun di dalam kenderaan awam, rakyat Terengganu masih membicarakannya. Yang tahu serba sedikit menceritakan, yang tidak tahu sangat berkeinginan mengetahui lebih lanjut.
Maklumat-maklumat yang dipaparkan menerusi laporan media massa, terutama akhbar-akhbar arus perdana dan tv nampaknya tidak meyakinkan masyarakat awam. Sebagai anggota masyarakat setempat, cakap-cakap dan penyampaian oleh eyewitnesses (mereka yang menyaksikan sendiri) nampaknya lebih diterima umum. Bagai diduga, kebanyakan cerita oleh saksi kejadian tidak memihak kepada pihak berkuasa.
Apa yang nyata, semakin banyak maklumat didedahkan media mengenai kejadian tersebut, dan semakin rancak serta meluas perbincangan mengenainya berlaku di dalam masyarakat, maka semakin banyak pula persoalan dan tandatanya timbul berkaitan fakta-fakta sebenar kejadian malam itu.
Ia turut mengundang teori konspirasi serta implikasi politik hasil insiden tersebut.
Banyak isu tinggal misteri
Untuk renungan dan bahan fikir bersama, berikut diperturunkan beberapa persoalan dan tandatanya tersebut:
1. Kerosakan harta awam dianggarkan RM500 ribu oleh pihak Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT). Exco Datuk Rosol Wahid pula dalam kenyataan berasingan mendakwa nilai kerosakan itu mencecah RM1 juta (biasa lah tu, pemimpin BN memang selalu melebih-lebih dalam hal seumpama ini). Kerosakan itu didakwa dibuat “perusuh” yang dikaitkan dengan para penyokong PAS yang hadir malam itu.
2. Puluhan buah motosikal dan kereta dilaporkan mengalami kerosakan teruk kesan pukulan benda tumpul (kayu atau batu). Gambar-gambar sebahagian kenderaan yang rosak itu turut disiarkan akhbar. Antara gambar itu menunjukkan lokasi motosikal yang rosak itu hanya beberapa depa dari sepasukan polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sedang berkawal.
Apakah munasabah orang awam melakukannya dan dilihat sahaja oleh anggota FRU? Lagi pun, kenderaan yang rosak itu adalah milik orang awam, bukan milik anggota FRU atau polis. Sedangkan pertembungan malam itu antara polis dan orang awam. Apakah munasabah orang awam merosakkan kenderaan mereka sendiri? (Bunyinya macam tuduhan Datuk Seri Anwar Ibrahim tumbuk muka dia sendiri dululah!)
3. Ada orang awam menceritakan telah melihat sekumpulan anggota polis mengunjungi Pasar Besar Kedai Payang (pasar utama di tengah bandar Kuala Terengganu) beberapa hari sebelum kejadian. Mereka itu dikatakan telah memborong kesemua ‘bidas’ (lastik, orang Kedah sebut ‘terbir’, orang Putih kata ‘catapult’). Untuk apa lastik-lastik itu diborong polis?
4. Insiden bakar bendera negara turut dipertikaikan. Gambar disiarkan akhbar Berita Harian, 10 September menunjukkan seorang pemuda lengkap bertopi keledar sedang membakarnya di tengah jalanraya yang agak lengang. Berdasarkan gambar itu, dipercayai jurugambar yang merakamkan insiden itu berada tidak jauh dari si pembakar itu.
Mungkin jurugambar tersebut adalah orang paling wajar disoalsiasat, siapa sebenarnya pemuda itu? Apakah gambar tersiar itu satu-satunya gambar dirakamnya ketika itu, atau ada lagi gambar-gambar lain yang merakamkan imej lebih jelas mengenai pembakar bendera itu?
5. Lebih dipersoalkan banyak pihak, apakah pemuda itu sebahagian dari kumpulan pemuda yang datang untuk mendengar ceramah PAS atau dari kumpulan lain? Bajunya tidak menampakkan sebarang tanda basah atau berpeluh, menunjukkan dia belum begitu lama di situ, tidak sebagaimana yang lain.
6. Ada juga eyewitness mendakwa melihat seseorang dari dalam sebuah kereta menghulurkan bendera negara yang menjadi bahan bakar itu kepada pemuda tersebut dan menyuruhnya membakar. Jika benar begitu, bermakna bendera itu bukan disentap di situ ketika kekecohan berlaku, tetapi sengaja dibawa dari tempat lain oleh orang misteri yang berkereta itu.
7. Ada juga eyewitness menyaksikan kedatangan sekumpulan mat rempit sejurus selepas keadaan agak reda. Mereka ini memang menjadikan laluan yang terlibat dengan kekecohan itu sebagai track perlumbaan mereka saban malam. Tidak payah diberitahu, mereka ini memang menyimpan dendam dengan pasukan polis kerana sering mengganggu akvititi malam mereka.
Mereka ini dikatakan tumpang sekaki “mengamuk” dan melakukan kekacauan sebagai melepas geram terhadap pasukan polis. Apakah mustahil mereka ini turut terlibat membakar bendera, kon polis dan melakukan kerosakan-kerosakan lain itu?
8. Keengganan pihak Polis Daerah Kuala Terengganu mengeluarkan permit untuk perhimpunan malam itu turut dipertikaikan. Pertama, telah beberapa kali lokasi sama dijadikan pentas ceramah melibatkan nama-nama besar dalam pembangkang seperti Mohamad Sabu, Anwar dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri. Majlis-majlis tersebut berjalan lancar dan aman, tiada kekacauan atau gangguan keselamatan, selagimana tiada kacau ganggu pihak polis.
9. Pihak polis memberikan alasan tidak mengeluarkan permit ceramah kononnya kawasan perumahan itu didiami golongan elit, pegawai kerajaan dan orang ternama. Justeru sebarang majlis ceramah akan menghasilkan gangguan bunyi kepada penghuni taman itu.
Juga dibangkitkan soal gangguan kepada para pelancong yang menginap di chalet dan resort berdekatan. Sedangkan lokasi sama terletak hanya beberapa ratus meter dari pentas utama Pantai Batu Buruk. Di situ saban bulan (kekadang tu saban minggu), berbagai bentuk bunyi bising dikumandangkan, tidak kira siang mahu pun malam. Mengapa tidak ditimbulkan soal gangguan bunyi dari pesta hiburan itu?
10. Soal bantahan yang didakwa dari penduduk setempat juga tidak sukar difahami. Mana ada orang Umno yang suka ceramah PAS diadakan berdekatan rumah mereka? Jadi, jika diraikan setiap bantahan orang Umno, nescaya tidak akan ada peluang bagi PAS untuk menganjurkan majlisnya di kawasan-kawasan awam. Apakah polis tidak pernah mengeluarkan permit untuk majlis Umno/BN jika dibantah penduduk setempat dari kalangan PAS?
11. Tindakan FRU melepaskan gas pemedih mata tanpa mengira tempat juga amat dikesalkan. Ia dihalakan bukan sahaja ke arah orang ramai yang cuba disuraikan, tetapi turut disasarkan ke arah kedai makan yang sedang dipenuhi pelanggan. Kanak-kanak yang berada di dalam kedai itu, termasuk anak-anak pemilik kedai, turut menerima kesan gas tersebut.
Apakah aspek keselamatan orang awam yang tidak ada kena-mengena dengan kekecohan itu tidak diambil kira terlebih dahulu oleh polis? Apakah semata-mata atas alasan menyuraikan perhimpunan haram, polis dihalalkan bertindak apa cara sahaja?
12, Tindakan seorang anggota polis melepaskan ‘peluru hidup’ sehingga mencederaparahkan dua orang awam sangat dipertikaikan. Anggota polis itu mendakwa kononnya beliau diserang, lalu memaksanya melepaskan tembakan demi mempertahankan diri.
Apa pun alasan dan dakwaan yang cuba dikemukakan, rakyat tidak dapat menerima ia sebagai tindakbalas yang wajar. Lain lah kalau orang yang didakwanya menyerangnya itu juga bersenjata. Apatah lagi diambilkira sebab kenapa beliau “diserang” itu, ialah kerana orang ramai melihat beliau cuba melakukan provokasi di tengah-tengah hadirin.
Setakat ini, persoalan dan tandatanya disebutkan tadi masih menguasai perbualan umum dan sembang kedai kopi di Terengganu. Segala persoalan itu pada hakikatnya lebih banyak memberikan kesan negatif kepada parti pemerintah.
KENAIKAN HARGA AYAM: PENINDASAN PASCA MERDEKA
Mat Rempit? Di Manakah Kematangannya?
Walaupun Malaysia tidak menghadapi sebarang ancaman perang daripada negara-negara lain seperti yang berlaku kepada umat Islam di Palestin, Lubnan, Afghanistan, tetapi statistik kematian yang dicatatkan oleh pengguna jalan raya negara ini menunjukkan angka yang hampir sama dengan jumlah mangsa perang yang terkorban di lain-lain tempat.