Fenomena ‘Jum Heboh’ yang menjadi ikon strategi pemasaran salah sebuah media penyiaran Malaysia telah menjangkiti ‘gelombang kedua’ dalam internet melalui kegiatan bloger, akhbar Internet dan laman web NGO, yang kadangkala terlihat sebagai suara rakyat dan kadangkala sebagai suara yang tertujah daripada wacana intelektual. Namun kadangkala juga tertonjol sebagai suara emosional yang pedih dan kecewa kerana meningkatnya gejala rasuah, gejala jenayah, gejala hedonisme, Islamofobia, rasisme, dan banyak lagi. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana masyarakat Malaysia sudah mempunyai ruang bebas untuk bersuara dan mengaitkannya dengan suara demokrasi. Malah ‘demokrasi terpimpin’ sebagaimana diuar-uarkan oleh Sukarno pada sekitar tahun 1950-an dahulu sudah ketinggalan zaman, malah dilihat sebagai ‘autokratik’ dan tidak lagi relevan dengan tahap keintelektualan rakyat Malaysia masa kini. Masakan demokrasi itu harus ‘ditentukan baik dan buruknya oleh pemerintah’ sedangkan falsafah demokrasi itu tertegak oleh prinsip ‘kebebasan rakyat untuk menentukan sistem pemerintahannya sendiri’. Pastinya kita menolak kebebasan mutlak yang tidak bertanggungjawab apatah lagi jika ia tercerna dengan kebebasan lewah yang lari daripada fitrah manusiawi.
Masyarakat Malaysia sudah tahu mendesak kerajaan supaya melibatkan suara rakyat dan bukan sekadar suara ‘wakil rakyat’ dalam hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan, kesejahteraan, kewarganegaraan mereka dan soal penentuan dasar Negara. Suara-suara sebegini lazimnya ditolak ketepi oleh media arus perdana pastinya bukan kerana tiada ketentusahannya tetapi kerana soal kritikan yang pedas, soal pengampang (gatekeeper), soal ‘agenda media’, soal ‘kuasa korporat media’ dan mungkin juga soal mengancam keharmonian social dan keselamatan negara.
Saya melihat perkembangan ini (jika ia bukan dari satu gejala) sebagai ‘gelombang kedua Internet’ kerana pada ‘gelombang pertama’ kandungan suara-suara internet lebih banyak dikaitkan dengan suara bangkangan yang banyak terdorong kepada suara ‘kepartian’. Malah pada sekitar 1998 sebaik-baiknya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) digubal dan dimaktubkan, suara-suara pedas internet lebih banyak terisi dengan suara ‘reformasi’ dan parti pembangkang yang menghentam pemimpin tertinggi negara secara peribadi, kaya dengan unsur fitnah, hasutan, dan kempen kebencian. Namun pada gelombang kedua ini, sifat sedemikian telah berubah haluannya.AKM 1998 di bahagian 3(3) antara lain, pada dasarnya menyarankan bahawa internet di Malaysia adalah bebas daripada tapisan pihak berkuasa. Dengan itu, jelaslah kerajaan membuka pintu bersuara yang luas bagi pengguna Internet untuk melampiaskan apa sahaja yang mereka fikirkan benar meskipun kadangkala ia hanya ditanggapi sebagai benar.
Pastinya saya bersetuju jika dikatakan AKM 1998 mengheret suara paradoks; pada sangkaan kita kebebasan Internet akan membawa kebaikan, namun ia mengheret juga masalah kepada pemerintah apabila ia menjadi pentas kepada rakyat untuk bersuara tanpa lagi perlu melalui wakil rakyat. Ia juga menjadi paradoks kerana pada sangkaan kita literasi internet di kalangan rakyat amat rendah, namun kita lupa ia telah membawa kejatuhan Presiden Suharto di Indonesia melalui ‘kesan pendaraban’ internet itu sendiri. Ia juga suatu paradoks kerana keikhlasan kerajaan untuk mempromosikan Koridor Raya Multimedia dengan membuka ruang kebebasan bersuara melalui Internet dan enakmen AKM 1998, telah bertukar menjadi pentas mengkritik jika bukan ‘menghentam’ kerajaan. Maka dengan itu persoalan yang dahulunya sensitif dan dianggap ’taboo’ kepada rakyat telah menjadi perbualan di kedai-kedai kopi, di surau-surau malah diangkat sebagai wacana intelektual di seminar tempatan mahupun di peringkat antarabangsa. Inilah yang saya hujahkan sebagai ‘gelombang kedua’. Namun kita harus juga faham bahawa daripada teori ‘kritikan’, para sarjana, misalnya Habermas dan Hokhemier, bersetuju bahawa rakyat mengkritik kerana rakyat mahu melihat perubahan.
Malah kerajaan juga seakan-akan menggalakkan ‘kehebohan’ Internat itu apabila kerajaan memberi respons yang positif terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh pengguna internet. Pada zaman Tun Mahathir lagi kita lihat bahawa isu ‘sistem kuota’ kemasukan ke Universiti mengikut kaum telah bertukar kepada ‘sistem meritokrasi’. Apa yang saya lihat, sistem kuota itu sering dikritik oleh suara-suara rakyat melalui internet. Penubuhan Suhakam juga mempunyai kebangkalian yang tinggi daripada tindakan suara-suara rakyat melalui Internet.Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis yang telah dibawa ke parlimen juga mempunyai relevannya yang tinggi dengan suara-suara rakyat melalui Internet. Tindakan BPR terhadap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri adalah berasaskan pendedahan rasuah melalui internet. Tindakan BPR terhadap Ketua Polis Negara baru-baru ini juga berpunca daripada Internet. Dan akhir-akhir ini kita lihat pihak pemerintah menjadi ‘gelabah’ dengan tingkah riuh-rendah ‘Malaysia Today’,’Sang Kelembai’,’Rockybru’,’Screenshot’ dan lain-lain.
Bukannya tiada tindakan pihak berkuasa untuk menghalang kegiatan suara-suara Internet ini jika ia dilihat terpesong ke arah mengancam keselamatan negara, dan jika ia lewah fitnah dan hasutan. Namun tindakan sedemikian acapkalinya dilihat sebagai gagal dan kurang kesannya, apatah lagi ia bertentangan dengan falsafah AKM 1998. Kita juga harus ingat bahawa suara-suara rakyat ini diperhatikan dan dinilai oleh wargadunia; misalnya apabila Malasiakini diserbu polis dan merampas sebilangan besar komputernya pada suatu ketika dahulu, banyak pertubuhan kewartawanan dan hak asasi manusia di seluruh dunia menentang tindakan sedemikian. Itu belum lagi dikira rungutan pelabur-pelabur antarabangsa ICT di Koridor Raya Multimedia Malaysia. Malah paradoksnya juga ia menjadi berita Internet yang teruar-uar di seluruh jagat alam; sehingga Steven Gan Kedua Editor Malaysiakini diangkat sebagai wira oleh beberapa organisasi kewartawanan peringkat antarabangsa dan telah memenangi pelbagai anugerah kewartawanan peringkat dunia yang jarang digarap oleh wartawan media arus perdana negara kita.
Lalu hari ini kita lihat mantan Perdana Menteri sendiri telah meluahkan kritikan dan pandangannya terhadap kerajaan melalui Internet. Pada hal, pada suatu ketika dahulu Tun sendiri amat tidak senang dengan Malaysiakini yang dilihat sebagai ‘idola’ akhbar Internet. Prihatinnya kita terhadap YAB Abdullah kerana ketika beliau diangkat menjadi Perdana Menteri, Internet sudahpun matang dan kian dewasa. Maka banyaklah terhunjam kritikan-kritikan pedas suara-suara rakyat jika mereka bertembung dengan kelemahan-kelemahan yang mereka mahu kerajaan mengubahnya. Cuma satu sahaja pegangan yang menjadi harapan kita sebagaimana kata John Milton, ahli falsafah Inggeris: ‘Biarlah kebenaran dan kepalsuan itu bertembung dalam media massa, pada akhirnya pasti kebenaranlah yang akan menang’. Islam Hadhari juga pastinya tidak menolak falsafah sedemikian.
No comments:
Post a Comment