Sebagai saksi mata yang melihat pelbagai kepincangan yang dibawa oleh arus modenisasi, kita melihat ramai anak muda yang gemar menghabiskan masa dengan berfoya-foya, menjadi penonton berat filem-filem terbaru, berhibur di konsert-konsert liar dan semenjak beberapa tahun kebelakang, gejala Mat Rempit menjadi semakin parah.
Walaupun Malaysia tidak menghadapi sebarang ancaman perang daripada negara-negara lain seperti yang berlaku kepada umat Islam di Palestin, Lubnan, Afghanistan, tetapi statistik kematian yang dicatatkan oleh pengguna jalan raya negara ini menunjukkan angka yang hampir sama dengan jumlah mangsa perang yang terkorban di lain-lain tempat.
Kematian umat Islam di negara-negara yang berperang dianggap sebagai mati syahid, tetapi bagaimana pula dengan kematian yang berlaku akibat lumba haram di negara kita?Kumpulan Mat Rempit merasa bangga apabila mereka boleh memecut laju diatas jalan raya, menguatkan bunyi enjin sambil menggayakan pelbagai aksi ‘membunuh’, yang bukan sahaja membahayakan keselamatan dirinya, malah pengguna-pengguna jalan raya yang lain juga.Secara kasarnya, gejala Mat Rempit hanya mendatangkan mudarat kepada golongan yang dimaksudkan.
Namun begitu, aktiviti merempit ini sebenarnya memberi impak yang besar bukan sahaja kepada individu itu sendiri, malah negara dan bangsa turut menerima implikasi negatifnya yang boleh memberi kesan besar kepada pembangunan sosial, ekonomi dan politik.Pembangunan sosial menjadi terencat kerana kegiatan merempit mengancam ketenteraman dan ketenangan suasana malam. Malah, golongan ini sering terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Apa yang paling membimbangkan ialah konsep pertaruhan wanita yang menjadi amalan mereka di dalam sesebuah perlawanan haram.Remaja-remaja perempuan sanggup menggadaikan maruah mereka untuk menjadi pembonceng kepada teman lelaki mereka yang menjadi ahli kumpulan Mat Rempit. Jika teman lelaki mereka kalah di dalam sesuatu perlumbaan, maka gadis-gadis inilah yang menjadi pertukaran dengan pihak yang memenangi perlumbaan tersebut.
Tidakkah ini memperlihatkan suasana budaya sosial yang bobrok? Justeru, barah yang berakar di dalam masyarakat kita ini harus segera diubati jika kita benar-benar tidak mahu mendengar kisah pembuangan bayi, anak luar nikah dan merebaknya pelbagai jenis penyakit pembunuh seperti AIDS dan sebagainya.
Dilihat daripada aspek ekonomi pula, golongan Mat Rempit ini terbukti membazirkan waktu muda mereka yang seharusnya digunakan untuk membangunkan potensi diri masing-masing. Malangnya, segala kemakmuran dan kemodenan yang tersedia di dalam negara tidak dimanfaatkan untuk tujuan yang murni. Peluang-peluang itu sebaliknya dimanfaatkan dengan baik oleh rakyat asing yang menyedari bahawa negara ini adalah platform terbaik untuk mereka memperbaiki kualiti kehidupan masing-masing.
Negara bimbang sekiranya perkembangan yang tidak sihat ini semakin menjdi-jadi tanpa kawalan dan pemantauan yang terbaik, kerana golongan yang terlibat dengan gejala Mat Rempit ini terdiri daripada golongan belia remaja yang kebanyakannya masih di bangku sekolah lagi dan bergantung sepenuhnya kepada sumber kewangan ibu bapa masing-masing.
Penyertaan di dalam perlumbaan haram memerlukan pelaburan wang yang banyak, khususnya untuk mengubah-suai kemampuan motosikal, kos bahan api, wang pertaruhan dan sebagainya. Bagi yang terjebak dengan jerat dadah, mereka memerlukan jumlah wang yang besar untuk mendapatkan bekalan dadah yang berterusan. Desakan ekonomi seperti ini mendedahkan mereka kepada kegiatan mencuri, ragut dan seumpamanya yang menyebabkan kerugian ekonomi yang signifikan kepada negara.
Bukan sahaja ekonomi, malah kestabilan politik turut menerima ancamannya kerana generasi muda belia hari ini merupakan pelapis kepada tonggak kepimpinan negara di masa hadapan. Kecacatan akhlak dikalangan golongan muda bakal membantutkan kesinambungan kepemimpinan negara.Negara memerlukan golongan remaja yang berkreadibiliti dan berani. Tetapi, keberanian yang dimaksudkan perlu kena pada tempatnya.
Kita tidak mahu golongan Mat Rempit yang berani mati ini akhirnya bakal memudaratkan keadaan negara. Kita memerlukan golongan remaja yang berani menegakkan kebenaran, berani menjadi usahawan dan tidak mudah melatah menghadapi ujian demi membangunkan ummat. Anak-anak muda seperti ini mampu menjamin kebaikan yang berterusan untuk bangsanya. Lebih daripada itu, kita memerlukan anak-anak muda yang sanggup menjadi sukarelawan membanteras pengedaran dadah dan mencegah aktiviti-aktiviti mungkar dan maksiat.
Kita memerlukan anak-anak muda yang rela mengorbankan masa dan wang ringgit serta sanggup meredah hutan mengharungi lautan untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang memberi faedah kepada negara dan bangsa.Melihat kesungguhan dan kegigihan belia bangsa lain memperbaiki kehidupan mereka membuatkan kita bertanya kepada diri kita – “Mengapa kita terus membiarkan anak-anak muda Melayu memperlihatkan keberanian mereka di atas jalan raya dan memasukkan jarum suntikan dadah di kalangan sendri?”.
Justeru itu, semua pihak – ibu bapa, golongan pendidik dan masyarakat keseluruhannya diseru agar berganding bahu bersama kerajaan untuk menangani gejala Mat Rempit ini. Golongan ini sebenarnya memerlukan bimbingan dan pemantauan daripada orang yang lebih berpengalaman. Insya-Allah dengan berkat usaha semua, masalah ini mampu diatasi dengan sebaiknya.
1 comment:
marilah kita sama-sama beriktiar dan berdoa supaya kegiatan mat rempit ini lenyap sama sekali.
http://cat-world.50webs.com
Post a Comment