Roslan Shahir
Pada tanggal 8 September lalu, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang menghadiri majlis jemputan ceramah BA di Perak manakala Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa menghadiri majlis makan malam perdana anjuran PAS Kawasan Kelana Jaya bersama Dato' Dr Hasan Ali di Gleanmarie.
Tidak ada siapa yang menjangkakan suatu tragedi besar akan meletus pada malam tersebut di Kuala Terengganu. Ceramah anjuran Bersih pada malam itu di Batu Burok, Kuala Terengganu merupakan sebahagian dari program jelajah atau roadshow anjuran Bersih yang sebelum ini berjalan lancar di negeri-negeri lain termasuklah Perak dan Pahang tanpa sebarang insiden.
Esoknya hari Ahad, Presiden dan Timbalan Presiden dijangka berlepas sebelah petangnya ke Kota Bharu bagi menghadiri mesyuarat pertama Majlis Syura PAS Pusat, setelah tempoh majlis yang lepas berakhir. Semuanya jadual berjalan lancar menurut aturan.
Tiba-tiba sebelah malamnya, hari Sabtu 8 September tersebut, tanpa disangka-sangka suatu tragedi berdarah telah tercetus di Batu Burok, Kuala Terengganu. Ceramah yang dijadualkan dihadiri oleh Mohamad Sabu (Naib Presiden PAS), Tan Sri Khalid Ibrahim (Setiausaha Agung PKR) dan Leong Ngah Ngah (AJK Pusat DAP) itu rupanya tidak dapat dilangsungkan.
Pihak polis telah enggan memberikan permit atas alasan-alasan yang dirasakan tidak munasabah kerana premis milik ahli PAS itu sebelum ini telah berkali-kali menjadi tuan rumah kepada program-program ceramah PAS.
Orang ramai yang mula membanjiri Kuala Terengganu untuk menuju ke tapak ceramah telah dihalang oleh pihak polis melalui sekatan jalanraya yang diadakan. Akibatnya orang ramai berkerumun di sana sini sekitar Batu Burok, tanpa menyedari yang majlis ceramah telah dibatalkan atas keenganan pihak polis memberikan permit.
Ketegangan mula membara apabila pihak polis tanpa mengunakan diplomasi dan budibicara telah bertindak merobohkan pentas di tapak ceramah. Dan dalam keadaan gawat itu, terdapat pula pihak-pihak tertentu yang senagaja melakukan provokasi bagi merangsang orang-ramai agar bertindak liar.
Beberapa petugas PAS yang memang terlatih untuk mengenal-pasti agen provokator seperti ini, telah bertindak memegang dan menahan tuan punya badan, rupa-rupaya si agen provokator itu adalah seorang anggota polis yang tidak beruniform dan dalam kekalutan itu telah bertindak melepaskan tembakan ke arah mereka yang cuba menahannya, kononnya atas alasan mempertahankan keselamatan diri dan keselamatan wanita dan kanak-kanak di situ.
Dua orang ahli PAS telah terkena peluru hidup yang dilepaskan oleh anggota polis tadi. Kedua-duanya tercedera parah dan seorang terpaksa dikejarkan ke HUSM Kubang Kerian, bagi mencungkil keluar peluru yang telah bersarang di paru-parunya.
Dan kini berbagai teori dan andaian terbit tentang bagaimana kejadian ini boleh terjadi. Media arus perdana seperti biasa menggambarkan seolah parti-parti pembangkanglah yang menjadi dajal sehingga tercetusnya tragedi ini. Istilah rusuhan dan huru-hara dengan mudah sahaja dilontar dan dilambakkan di dada-dada akhbar mereka.
Bagi PAS tragedi ini sungguh malang kerana sekali lagi ahli-ahli dan penyokongnya menjadi mangsa kerakusan pihak polis yang sudah pasti menerima tekanan dari pihak atasan politik.
Kali ini mereka bukan sekadar disemburkan dengan pancutan air dan dianianya dengan gas pemedih mata, ada juga ditangkap dan dibelasah. Tetapi yang lebih malang adalah sehingga ada yang ditembak dengan peluru hidup.
Penggunaan peluru hidup terhadap orang awam seumpama ini, yang popular satu ketika dahulu dizaman apartheid di Afrika Selatan kini diamalkan pula oleh polis kita dalam suasana kita masih meraikan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-50.
Apakah begitu murah nyawa rakyat kita sehingga peluru yang sepatutnya dihalakan kepada para penjenayah dan musuh negara dihalakan pula terhadap rakyat sendiri yang mendukung sistem demokrasi yang sepatutnya menjadi amalan negara.
PAS sebagai sebuah parti politik sepanjang usia negara ini tidak pernah menggunakan keganasan untuk meraih kuasa. Ia bertanding dalam pilihan raya, pernah menang dan pernah juga kalah, tetapi tidak pernah dirasuk oleh nafsu sehingga mahu menjadi juara keganasan, kerana jika demikian ternyata rakyat Malaysia nanti akan menolak mereka dalam pilihan raya umum.
Pihak polis juga kita yakin mahu menjadi pengawal kemanan yang profesional. Tidak ada untungnya jika mereka dikenali dengan imej ganas dan bengis (apalagi rasuah) keran ia hanya akan mencacatkan imej negara dan memberi kesan kepada ekonomi.
Jika PAS tidak mahu keganasan, pihak polis juga begitu, maka siapakah yang akan untung sebenarnya dalam tragedi ini. Sudah tentulah seteru politik PAS. Apabila PAS digambarkan ganas, merosakkan harta awam, membakar jalur gemilang, memukul polis, maka imejnya akan menjadi buruk dan rakyat akan takut untuk mengundi mereka. Kalau demikian sudah pastilah yang untung dan tersengeh lebar adalah Umno!
Kerana itu PAS menuntut agar satu Suruhanjara Diraja yang bebas dibentuk untuk menyiasat dan mencungkil punca-punca utama penyebab dan penyumbang kepada tragedi ini.
Siapa sahaja yang bersalah perlu dipertanggungjawabkan atas kesalahn mereka itu. Lebih-lebih lagi jika da pihak yang sengaja merancang untuk mencetuskan tragedi ini, merteka ini perlu didedahkan dan diambil tindakan.
Rakyat berhak mengetahui punca utama berlakunya tragedi ini. Dan sehingga sebuah suruhanjaya seumpama ini dibentuk, maka selama itulah (berjaya usaha Umno bahawa) yang jahat adalah PAS walaupun yang membatalkan ceramah bukannya PAS dan yang melepaskan tembakan peluru hidup juga bukan PAS!
http://www.harakahdaily.net/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment