Sunday, September 16, 2007

Yang Cemerlang dan Yang Kandas

Mungkin tidak keterlaluan jika pada hari ini kita melihat sekolah seperti kilang; kilang melahirkan generasi cemerlang (lihat Utusan Online 17 Mac 2007, 13 Mac 2007, 23 Mac 2006, 14 Mac 2006). Lalu kita meletakkan harapan yang amat tinggi terhadap produk sekolah kita, malah kita memilih sekolah-sekolah yang telah berjaya menghasilkan pelajar cemerlang untuk menempatkan anak-anak kita di situ, kerana bagi kita, kilang yang telah menghasilkan produk yang baik pastinya akan dapat menggilap kecemerlangan anak-anak kita dengan baik juga. Namun kadangkala kita lupa bahawa produk yang baik hanya dapat dihasilkan jika bahan mentahnya baik.

Saya sedar bahawa amat salah untuk menjadikan ‘kilang’ sebagai analogi kepada sekolah-sekolah kita. Namun saban tahun kita sering meuar-uarkan dalam media massa tentang pencapaian cemerlang sekolah-sekolah tertentu, khususnya sekolah-sekolah berasrama penuh. Lalu, kita juga mengangkat tenaga pengajar sekolah-sekolah hebat ini sebagai tenaga pengajar yang proaktif, beriltizam tinggi, lebih bijak, pandai mendidik, menggunakan teknik pengajaran yang canggih dan kualiti-kualiti lain yang menjustifikasikan pencapaian cemerlang sekolah tempat mereka bertugas. Dengan itu juga kita lupa bahawa bahan mentah yang masuk ke sekolah-sekolah sedemikian adalah bahan-bahan berkualiti yang telah ditapis atau disenaraipendekkan. Lebih malang lagi kita jarang mahu mengetahui apakah masalah sekolah-sekolah yang corot dalam pencapaian Peperiksaan Nasional itu.

Dalam suatu seminar ‘Outcome Base of University Education’ yang pernah saya hadiri, penceramah pernah membangkitkan isu guru-guru daripada sebuah sekolah menengah yang ‘tercorot’ keputusan Peperiksaan SPM-nya yang mencabar Pegawai Pendidikan Daerah supaya menukarkan semua guru dari sekolah yang dikategorikan hebat supaya mengajar di sekolahnya yang rata-rata terdiri daripada anak-anak pekerja kilang dan pelajar-pelajar yang genjot iltizam mereka: untuk melihat sejauh mana hebatnya guru-guru sekolah cemerlang berkenaan. “Adakah guru yang cemerlang atau pelajarnya yang sememangnya cemerlang, yang sudah ditapis dan sedia cemerlang?” Atau secara analoginya ‘bahan mentahnya’ sudah sedia cemerlang.

Malah seorang bapa di Bandar Baru Bangi, yang namanya tidak mahu didedahkan, telah memberitahu saya bahawa anaknya yang dihantar ke salah sebuah Sekolah Menengah Sains telah meminta ayahnya mengeluarkannya daripada sekolah tersebut kerana guru-gurunya yang tidak bersungguh-sungguh dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Malah pada suatu ketika semasa pengajian saya di England, rakan-rakan bekas lulusan Sekolah Menengah Sains menyatakan bahawa perolehan keputusan cemerlang di Sekolah Menengah Sains adalah sebahagiannya kerana soalan-soalan ramalan Peperiksaan Nasional yang hampir menyamai soalan-soalan sebenar peperiksaan dan bukannya kehebatan guru-gurunya. Pastinya kita boleh mencabar dakwaan sedemikian kerana guru juga memainkan peranan utama. Pembolehubah yang lain dalam hal kecemerlangan sekolah sedemikian dikatakan berasaskan kecemerlangan pelajar itu sendiri. Walau bagaimanapun bukan isu ini yang hendak saya ketengahkan.

Setiap kali apabila keputusan Peperiksaan Nasional yang diduduki oleh pelajar-pelajar sekolah kita, baik di peringkat UPSR, PMR, SPM dan STPM diumumkan, kita sering akan membicarakan keputusan cemerlang yang dicapai oleh sekolah-sekolah tertentu dan lebih riuh lagi, keputusan individu tertentu di kalangan pelajar-pelajar kita. Lalu jika ada anak-anak kita yang telah menduduki peperiksaan sedemikian maka jiran-jiran, rakan sekerja, ahli keluarga dan kenalan kita akan menelefon dan bertanya tentang berapa ‘A’ yang telah diperolehi. Maka ada yang menjawab dengan megahnya, dan ada yang menjawab tanpa ditanya kerana anak-anak mereka mendapat banyak ‘A’ yang seharusnya dibanggakan. Itu bukan suatu kesalahan pada pandangan kita. Itu baik kerana budaya ‘kecemerlangan’ harus diangkat dan dijulang dalam sfera masyarakat. Maka pelajar hebat seperti Amalina, sebagai contoh, menjadi idola, malah ada yang cuba pula menipu untuk mengalahkan Amalina.

Seorang guru yang amat saya kenali di Shah Alam pada beberapa tahun yang lalu, telah menangis kesedihan yang amat sangat apabila keputusan UPSR anaknya diumumkan. Kebetulan anaknya yang mengambil peperiksaan UPSR itu juga bersekolah di sekolah tempat dia mengajar. Dia menangis bukan kerana anaknya gagal mendapat keputusan 5A. Sebaliknya dia menangis kerana setelah semua guru-guru bertungkus-lumus sepanjang dua tahun mengerah tenaga untuk melahirkan pelajar cemerlang di sekolahnya, hanya anak dia sahaja satu-satunya yang mendapat keputusan cemerlang 5A.

Dengan budaya memuja kecemerlangan yang sedemikian kita berlumba-lumba untuk memastikan bahawa anak-anak kita cemerlang. Kita menghantar anak-anak ke pusat tuisyen. Guru-guru juga ghairah mencari ruang untuk mendapatkan pendapatan tambahan dengan menjadi guru tuisyen. Daripada pengalaman rakan-rakan di kalangan guru, saban malam sesetengah daripada mereka akan bertungkus-lumus ke sana ke mari kerana keterlibatan mereka sebagai guru tuisyen. Namun kita lupa orientasi kelas-kelas tuisyen ialah peperiksaan, soalan ramalan, skema soalan peperiksaan dan skema jawapan peperiksaan; amat malanglah jika soal moral, nilai murni dan disiplin diletakkan ke tepi.

Kerana ramai yang telah belajar di pusat-pusat tuisyen terutamanya pada tahun-tahun yang mereka akan menghadapi Peperiksaan Nasional, maka saya pasti terdapat keselesaan guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah. Tanggapan ‘prakonsif’ bahawa pelajar telah menggarap kemahiran dan ilmu daripada pusat-pusat tuisyen pastinya memberikan impak negatif kepada guru-guru untuk mengembleng tenaga mereka di bilik-bilik darjah. Lalu kita lihat yang akan menjadi mangsa ialah anak-anak daripada keluarga kurang berada; yang tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen. Lalu sebahagian daripada mereka ini akan menjadi calon ‘pelajar kandas’ yang berkontradik dengan ‘pelajar cemerlang’.

Dengan senario sedemikian itu juga kita lupa bahawa di tengah-tengah kehadiran pelajar cemerlang itu telah wujud koloni para pelajar yang berkompleks inferioriti dan melihat masa depan mereka dengan penuh kekaburan dan tandus keyakinan. Sesetengah daripada mereka menghadapi tekanan kerana terabai dari segi pergaulan di sekolah, pandangan negatif guru-guru, dan ditindan-tindih dengan kedaifan keluarga yang kurang berkeupayaan. Sesetengahnya juga menjadi agresif, kurang disiplin, mula menubuhkan koloni mereka yang tersendiri dan terdedah dengan pelbagai gejala seperti gangsterisme, dan kumpulan kongsi gelap.

Pelajar yang saya labelkan sebagai calon ‘kandas’ ini sesetengahnya pula memang buta huruf, walaupun mereka bukannya lembam. Kerana orientasi masyarakat kita yang terlalu menekankan pencapaian peperiksaan, keputusan cemerlang dan menyanjung tinggi pelajar cemerlang, pelajar kandas ini telah kita pinggirkan dan kita biarkan begitu sahaja tanpa ada suatu strategi yang tuntas dan berkesan untuk memulihkan mereka. Lazimnya sekolah-sekolah kita melepaskan tangan dan membiarkan pelajar-pelajar kandas ini berlarutan dengan sikap, tingkah laku dan pencapaian corot mereka. Mereka ini seakan-akan disembunyikan apabila laporan-laporan kepada Pegawai Pendidikan Daerah jarang sekali mengangkat isu ini. Ironinya sekolah-sekolah yang pencapaiannya rendah akan ‘dihentam’ dan akhirnya ‘hentaman’ itu tertuju kepada guru-guru yang lelah, dan kecewa kerana ‘bahan-bahan mentah’ yang mereka terima sudah sedia buruk sehingga menjadi mustahil untuk menjadi produk cemerlang.

Berdasarkan satu temubual saya dengan seorang guru di salah sebuah sekolah di Bandar Baru Bangi, pada tahun ini di sekolahnya terdapat kira-kira 15-20 peratus pelajar dalam Tingkatan Tiga dan Lima yang masih buta huruf atau separa buta huruf. Mereka bukan sahaja bakal menjadi calon-calon kandas, tetapi sesetengahnya menjadi pengganggu kepada sistem pembelajaran-pengajaran di bilik darjah kerana disiplin mereka yang rendah, kerap ponteng sekolah, agresif, biadap dan mengancam kerja-kerja guru.

Gejala yang serantaian seperti menganggu pelajar-pelajar lain, merosakkan harta benda sekolah, mengugut guru-guru, agresif, suka bergaduh, terlibat dengan gangsterisme, dan gejala lain yang memesongkan mereka daripada nilai murni sering kita lihat di kebanyakan sekolah menengah (sila lihat Utusan Online tentang gejala gangsterisme dan pelajar ganas di sekolah pada: 28 April 2004, 26 April 2004, 25 Jan 2004, 15 Ogos 2000, 25 April 2000, dan 3 Mac 2000). Hal ini mengheret permasalahan serius di sekolah kita kerana golongan pelajar yang saya lihat sebagai ‘malang’ ini seringkali kita abaikan tanpa perhatian serius, tidak seperti calon-calon pelajar cemerlang yang dipuja, dijulang dan diberi ruang yang amat luas untuk kejayaan masa depan mereka.

Dengan menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai kajian kes mini, saya dapati bahawa iltizam murni Jabatan Pendidikan Daerah mewujudkan Sekolah Menengah Khas untuk pelajar cemerlang UPSR telah membangkitkan suatu paradoks kerana projek sekolah tersebut telah menarik keluar pelajar-pelajar cemerlang dari kawasan ‘catchment’ tertentu seperti Sek Men Jalan Reko. Lalu yang tertinggal di kawasan catchment itu ialah pelajar-pelajar yang kurang beriltizam dan yang menjadi masalah ialah sesetengahnya ialah calon-calon pelajar kandas.

Namun keadaan menjadi lebih parah apabila sebahagian daripada pelajar-pelajar dan guru-guru di kawasan catchment ini, daripada aspek psikologinya, telah tercalar motivasi mereka, muram, dan tebal dengan kompleks inferioriti kerana komposisi pelajar yang rata-rata dipenuhi oleh para pelajar yang rendah pencapaian mereka. Hal ini dibebankan lagi apabila 90 peratus guru-gurunya adalah wanita yang saya pasti kurang berkesan untuk menangani pelajar-pelajar lelaki yang agresif, bermasalah, dan rendah tahap disiplin mereka, dan kerap kali hanya menjadikan guru-guru bahan lelucon mereka.

Pada tahun 2007 saja misalnya terdapat enam orang guru wanita di salah sebuah sekolah menengah di Bandar Baru Bangi, yang ‘keguguran’ kerana stres akibat yang dipercayai berpunca daripada sikap dan tingkah-laku pelajar-pelajar yang ‘biadap’ dan disiplin yang rendah. Bayangkan bagaimana terganggunya emosi guru-guru akibat sikap pelajar yang biadap, mengganggu pengajaran guru, mengganggu pelajar lain, tidak membuat kerja rumah, bising semasa proses pembelajaran-pengajaran. Emosi guru yang terganggu akan menjejaskan tumpuan guru itu sendiri dan akhirnya proses pembelajaran-pengajaran menemui kegagalan. Guru kecewa dan pelajar terbiar. Yang menjadi mangsa ialah golongan pelajar yang bersungguh-sungguh hendak belajar. Akhirnya gejala ini berlarutan.

Sistem persekolahan di negara ini tidak menyediakan kelas pemulihan; apa yang wujud ialah kelas pemulihan untuk pelajar lembam (yang dijustifikasikan oleh pemeriksaan doktor pakar), bukannya untuk pelajar ‘kandas’. Memang ada kelas peralihan, tetapi konsep kelas-kelas peralihan ini disediakan untuk para pelajar lepasan Darjah Enam yang datang daripada Sek Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil bagi memantapkan penguasaan Bahasa Malaysia mereka dan bukannya khusus untuk tujuan pemulihan.

Sekolah-sekolah kita juga menghadapi masalah kerana komposisi guru-guru wanita dan lelaki tidak seimbang malah di sekolah-sekolah tertentu kadar guru lelaki kepada guru wanita ialah 2:8 dan sesetengahnya 1:9. Tidak dinafikan banyak faktor lain yang menekan seperti bilangan pelajar yang padat dalam satu-satu bilik darjah (sehingga lebih 40 orang pelajar), persekitaran sosial yang tidak sihat, masalah inflasi/ekonomi, pengaruh urbanisasi, gejala konsumerisme, dan hedonisme yang kental.

Saya percaya bahawa wujud korelasi yang tinggi antara kewujudan pelajar kandas pada masa lalu dengan kes-kes jenayah masakini: gangsterisme, ragut, rompak, pecah rumah, curi motosikal, dadah, seks bebas, rogol, Mat Rempit, dan gejala lain.

Saya juga percaya bahawa wujud di kalangan pelajar kita golongan ‘late developer’ sedangkan sistem persekolahan kita mengasak, mengheret dan menolak mereka ke peringkat atas tanpa proses pemulihan dan penapisan. Setiap pelajar mempunyai potensi mereka yang berbeza, dan dari aspek psikologi pendidikan mereka juga menuntut pendekatan yang berbeza dalam proses pengajaran-pembelajaran.

Saya masih ingat lagi bagaimana tindakan korporal digunakan untuk menangani masalah disiplin di sekolah-sekolah kita pada tahun-tahun 60-an dan 70-an dahulu. Hari ini kita menolak sistem sedemikian dan kemudiannya kita berhadapan dengan kes-kes pelajar memukul guru, mengugut guru malah menggunakan samseng untuk berindak ganas ke atas guru-guru yang sebenarnya mahu menjadikan mereka manusia mulia (sila lihat Utusan Online 12 Sep 2006, 6 Sep 2006, 4 Sep 2006, 24 Sep 2005).

Saya percaya sudah sampai masanya kita mewujudkan ‘Sekolah Khas Pemulihan Pelajar’ bagi mengatasi masalah disiplin yang rendah di sekolah-sekolah menengah di seluruh negara, seiring dengan penubuhan sekolah-sekolah berasrama penuh yang mengangkat dan memuja para pelajar cemerlang. Kita harus kesan kewujudan pelajar-pelajar yang rendah tahap disiplin mereka untuk ditempatkan di sekolah-sekolah pemulihan ini, sekurang-kurangnya untuk selama setahun. Konsep Sekolah Khas Pemulihan Pelajar ini hendaklah dipisahkan daripada konsep ‘sekolah jahat’ seperti Sekolah Henry Gurney, kerana kemasukan pelajar-pelajarnya ditentukan oleh mahkamah juvenil.

Setelah mengikuti pendidikan di sekolah pemulihan khas ini, dan sekiranya laporan pemulihan mereka memuaskan barulah mereka boleh dibenarkan kembali semula ke sekolah asal mereka. Guru-guru di sekolah pemulihan ini hendaklah guru-guru terlatih bagi mendidik pelajar kandas, agresif, ganas dan memulihkan mereka sebelum mereka kembali kepada sekolah yang sewajarnya.

Kita tidak mahu mewujudkan konsep penjara untuk anak-anak muda yang masih mentah ini, namun kita harus sedar bahawa golongan ini tidak boleh dibiarkan bercampur dengan pelajar-pelajar lain yang ada harapan untuk berjaya dan mungkin diangkat sebagai pelajar cemerlang di peringkat PMR, SPM dan STPM.

Kita sudah sekian lama menghapuskan sistem penapisan melalui PMR. Pada masa kini semua pelajar, sama ada yang lulus PMR, atau tidak, secara automatiknya dibenarkan masuk ke Tingkatan Empat. Sedangkan kita tahu ada di antara mereka yang buta huruf dan ketinggalan dalam banyak aspek pendidikan asas. Golongan ini akan terus tenggelam sehingga mereka ke Tingkatan Lima. Bayangkanlah jika mereka meninggalkan bangku sekolah dengan sifat buta huruf, bebal, ganas dan agresif.

Golongan calon pelajar kandas ini pada pengalaman dan pada perkiraan saya, akan menjadi pengganggu kepada proses pengajaran-pembelajaran di bilik darjah. Sedangkan kita tahu bahawa dari aspek psikologi remaja, zaman remaja antara 13 – 17 tahun adalah zaman yang ‘tegang dan memberontak’ yang harus ditangani dengan bijaksana dan dengan kepelbagaian strategi. Sekolah Khas Pemulihan Pelajar ini mungkin boleh menjadi suatu ‘sistem penapisan pelajar’supaya proses pengajaran dan pembelajaran di bilik-bilik darjah Tingkatan Empat dapat berjalan lancar dan selesa.

2 comments:

Anonymous said...

Sememangnya sistem pendidikan mementingkan peperiksaan. justeru anak-anak yang dilahirkan melalui sistem ini tidak mempunyai modal insan yang tinggi. Sementelaah pula, ibu bapa begitu mengharapkan kecemerlangan anak-anak semata-mata.

Unknown said...

Rata-rata masyarakat,ibu bapa,guru,pegawai di PPD,di PPN serta orang ramai hanya memfokas dan mengagung-agungkan pelajar-pelajar yang cemerlang sehingga diberi segala insentif yang berbagai. Dalam masa yang sama pelajar yang kandas/tidak cemerlang diketepikan. Inilah fenomina yang terjadi dalam masyarakat kita masa kini.

Apakah negara hanya mahu menyediakan modal insan dari kalangan manusia yang cemerlang sahaja. Manakala manusia yang tidak cemerlang menjadi sampah masyarakat dan membuat segala kerosakan dimuka bumi ini. Pemimpin adalah diamanahkan Allah untuk memimpin manusia kejalan yang diredaiNya.

Saya menyaran agar masyarakat mulai berfikir dan bertindak bahawa pelajar yang tidak cemerlang itu juga adalah asset negara yang perlu munafaatkan kerana mereka juga adalah hamba Allah yang berhak mendapat bimbingan dan panduan untuk menjadi hamba yang diterima Allah.