Isu rasuah, jenayah dan integriti dalam sistem kepolisan kita akhir-akhir ini kelihatan parah, jika bukan ‘amat parah’ pada kacamata rakyat. Tanpa prejudis, saya tanggapi bahawa isu ini sudah bernanah sejak lama, dan dengan rasional itu juga tertubuhnya Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (SDPPPP).
Melalui suruhanjaya ini juga dalam laporan yang dikeluarkan pada 15 Mei 2005, telah diusulkan kepada kerajaan supaya ditubuhkan pula Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (SBASP). Walau bagimanapun secara instriksiknya SBASP ini telah mendapat bangkangan, mungkin daripada segelintir anggota tertinggi PDRM. Congak yang sedemikian saya ujarkan kerana setelah dua tahun cadangan SDPPPP diutarakan, namun sehingga hari ini ia masih tertangguh dan belum juga terlaksana.
Persoalan kepada isu rasuah, jenayah dan integriti PDRM mendidih semula apabila tertonjol di tengah-tengah sfera masyarakat isu kehidupan mewah 40 peratus pegawai polis kita sebagaimana yang didakwa secara tertutup oleh pegawai tinggi BPR seperti yang ditulis oleh Tun Haniff Omar dalam kolumnya di The Star. Jumlah 40 peratus itu boleh sahaja diheret ke penjara kerana tersabitnya mereka dengan rasuah. Namun nanah itu sudah pun berpekung apabila timbulnya kes Altantunya, kes dakwaan rasuah terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara (telahpun ditolak oleh Peguam Negara), kes pengadil karate Indonesia, Kolopita yang digodam polis sehingga cedera dan kes-kes lain yang dikaitkan dengan PDRM yang tidak mahu kita percayai seperti yang diungkit dalam akhbar arus perdana.
Amat memalukan kerana imej negara yang sewajarnya diangkat tinggi oleh PDRM, telah dicemari tanpa sedar atau secara sedar dalam kes Altantunya mahupun kes Kolopita. Keprofesionalan polis kita tercedera dengan kes-kes sebegini sehingga boleh menggugat hubungan diplomatik kita dengan Indonesia. Bayangkan apa akan terjadi sekiranya pendatang asing Indonesia yang berjumlah kira-kira 2 juta di Lembah Kelang bertindak membabi-buta kerana keprihatinan mereka terhadap Kolopita.
Sama juga kebimbangan kita terhadap keselamatan anak-anak kita yang belajar di institusi pendidikan tinggi di seluruh Indonesia kerana tunjuk perasaan dan protes rakyat Indonesia terhadap tindakan polis kita dalam kes Kolopita. Namun, isu rasuah, integriti, dan jenayah polis kita mungkin mahu sahaja kita bakulsampahkan jika ia tersiar dalam blog atau akhbar dalam talian, lebih-lebih lagi jika ia ditulis oleh penulis eceran; seperti saya mungkin.
Walau bagaimanapun ia mengangkat perhatian kita yang serius kerana ia telah ditulis oleh Tun Haniff Omar, bekas Ketua Polis Negara, walaupun Tun Haniff hanya mengulangi apa yang telah ‘dibisikkan’ kepadanya oleh pegawai tinggi BPR. Kita juga harus ingat bahawa signifikannya isu rasuah, jenayah dan integriti polis kita bukan kerana kita bencikan polis tetapi kita mahu mempertahankan imej polis kita yang dilihat ‘bersih’ dan ‘dipercayai bersih’.
Imej bersih dan dipercayai bersih adalah dua pembolehubah yang berbeza kerana ia melibatkan dua fakulti dalam sistem biologi kita: iaitu psikomotor dan kognitif. Ia melibatkan domain psikomotor kerana ia digerakkan oleh sistem visual kita: polis kita dilihat tekun, jujur, bersih, cekap dan amanah. Manakala ia difikirkan bersih kerana sistem akal dan pemikiran (kognitif) kita yang merasionalkan dan menjustifikasikan bahawa polis kita bersih. Namun sekiranya 40 peratus sudah terpalit lumpur danur, apa lagi yang boleh mengangkat mereka sebagai kelihatan bersih dan difikirkan bersih.
Saya ingin mengucapkan syabas kepada Tun Haniff Omar yang berani dan terbuka untuk berkongsi wacana sedemikian, dan syabas juga kepada akhbar arus perdana seperti The Star yang mahu menyiarkannya. Agak terserlah kebebasan akhbar yang juga mengangkat kebebasan bersuara dan sekaligus kebebasan ekspresi rakyat. Saya dapat lihat di kaca TV bagaimana Tun Haniff kemudiannya dikejar oleh para wartawan yang meminta beliau memperjelaskan lagi wacana beliau yang sedemikian.
Namun kita percaya bahawa sumber utama iaitu BPR-lah yang sepatutnya dikejar kerana kurangnya integriti mereka yang mungkin dikongkong oleh tangan-tangan berkuasa yang ghaib. Kita juga percaya bahawa Supritendan Polis, Baharuddin Idris, dari Bukit Aman juga harus dipuji kerana keterbukaan beliau untuk bersama-sama berkongsi pandangan dalam Utusan Malaysia, terhadap isu yang dibangkitkan dalam kolum Tun Haniff Omar itu. Di samping terangkatnya cahaya kebebasan akhbar, kita juga melihat bahawa demokrasi di Malaysia yang harus ditandai oleh integriti akhbar arus perdana sudah memperlihatkan tanda-tanda yang agak positif, lebih-lebih lagi dalam suasana semangat kemerdekaan dalam ulang tahun yang ke-50 yang masih menyemarak dan desas-desus pilihanraya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.
Walau bagaimanapun tanpa prejudis juga saya rasa tidak wajar untuk kita membicarakan isu rasuah dalam PDRM sebagai legasi Tun Haniff atau legasi sesiapa jua sebelum Tun Haniff atau sebelum Tan Sri Musa Hassan. Kita tidak harus menoleh ke belakang, kerana menoleh ke belakang akan menggugat perjalanan kita ke hadapan. Tun Haniff telah dengan jujur, mendedahkan kepada kita bahawa bagaimana dia telah dipindahkan ke sana ke mari sejak zaman Allahyarham Tun Razak masih bernafas lagi, sebagai hukuman tidak langsung terhadap kejujuran beliau mengatasi rasuah, atas dasar mahu menegakkan integriti dan mahu membersihkan kakitangan PDRM daripada gejala jenayah yang tertanggung atas bahu mereka.
Namun tindakan Tun Haniff telah disalahtafsirkan oleh pegawai-pegawai atasan PDRM atau tangan-tangan ghaib yang berkuasa. Sebagaimana pendapat Tony Buzan mahupun De Bono dalam ‘pemikiran kritikal dan lateral’ mereka, kita boleh sahaja melihat ke belakang tanpa mengabaikan arus pergerakan kita ke hadapan sebagimana kita melihat cermin belakang kereta tanpa menoleh ke belakang. Falsafahnya di sini ialah kita tidak harus mempersoalkan siapakah yang bertanggungjawab meninggalkan legasi atau warisan rasuah dan kegenjotan dalam PDRM yang sedemikian busuknya kerana yang penting apakah yang harus kita lakukan sekarang dan pada hari-hari esoknya untuk mengubah keadaan.
Kita tidak boleh mengubah yang yang telah berlaku semalam tetapi kita boleh mengubah apa yang akan berlaku sebentar lagi, esok, lusa dan hari-hari berikutnya. Falsafahnya sama dengan dogma bahawa kita tidak boleh mengubah sejarah, kerana sejarah adalah ‘sejarah’; apa yang boleh diubah ialah apa yang ‘akan menjadi sejarah’.Jadi dalam konteks perbincangan ini, apa yang penting bukan bagi kita mempersoalkan siapakah yang empunya legasi, tetapi soal yang penting ialah apa yang Tan Sri Musa Hassan harus lakukan terhadap semua kegenjotan yang berlaku pada polis kita.
Tanpa prejudis dan tanpa mahu mengajar, kita mahu Tan Sri Musa Hassan, sebagai Ketua Polis Negara, bangun dan memperjelaskan kepada rakyat keikhlasan dan rancangan masa depan PDRM untuk mengatasi kegenjotan polis kita. Sekurang-kurangnya Tan Sri Musa harus berdiri dan menyokong teguh penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis yang kita lihat amat lewah justifikasinya dengan berdasarkan perkembangan mutakhir polis kita. Kita tidak mahu polis kita bertugas seperti Bomba; mereka datang apabila diminta.
Kalau boleh, dengan penambahan 60,000 pegawai polis di seluruh negara dan rancangan tambahan-tambahan masa depan, kita mahu melihat lebih kerap kereta peronda polis meronda, atau polis yang mengawas, di bandar-bandar kita. Kita tidak gemar dengan polis berpakaian preman ini, kerana kita tidak mengenali mereka. Kita mahu polis ada di sekitar kita ketika kita perlukan mereka seperti dalam kes ragut, pecah rumah, rompakan dan sebagainya. Kita tidak mahu tugas polis yang peka undang-undang dipindahkan kepada rakyat kerana rakyat tidak arif undang-undang; justeru kita tidak mahu rakyat membunuh peragut yang mereka tangkap atau menghukum sendiri pencuri yang mereka serkup.
Polis diamanahkan untuk semua kerja-kerja itu dan rakyat di negara demokrasi dan berdaulat ini berhak menuntut kehidupan yang selamat dan aman. Kita juga mahu polis rapat dengan kehidupan kita. Kita menolak sama sekali negara polis, tetapi dalam suasana jenayah yang amat tinggi di negara ini (enam kes rogol sehari di Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Straits Times) kita tidak mampu membenci polis kita, malah kita lebih memerlukan mereka. Malangnya kita jarang melihat polis kita ketika berjalan di bandar apatah lagi di kawasan pedalaman.
Kita tidak tahu di mana sebenarnya mereka berada? Ketika sudah berlakunya kes-kes ragut, rompak dan rogol, kehadiran polis kurang bermakna kepada mangsa dan kepada kita juga. Mencegah parahnya pekung, lebih baik daripada mengubatinya.
No comments:
Post a Comment