Malaysiakini
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan bahawa adalah tidak wajar untuk kerajaan menaikkan harga ayam memandangkan musim perayaan yang sudah hampir menjelang tiba. Sebaliknya, Timbalan Pengerusi Biro Hal-Ehwal Kepenggunaan AMK, Hasmuzair Hassan berkata, kenaikan harga ayam kepada RM6 sekilogram adalah bukti kegagalan kerajaan untuk mengawal inflasi.
"Kerajaan terpaksa mengembalikan harga siling baru RM5.60 kepada harga siling asal RM6 semalam selepas menerima bantahan daripada peruncit ayam adalah kerana kos ayam telah meningkat akibat kenaikan kadar inflasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Menurutnya lagi, gaji pekerja dan kos pengangkutan semakin meningkat akibat kenaikan harga petrol dan diesel serta kos sara hidup.
"Tanpa dasar yang menyeluruh untuk menangani inflasi, kos ayam dan harga pasar ayam akan tetap meningkat meskipun harga siling ayam ditetapkan," katanya. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, tegas beliau, seharusnya mengambil langkah awal untuk membendung kenaikan harga makanan ayam seperti menambah pengeluaran makanan ayam dalam negara bagi mengurangkan import ataupun memberi subsidi terhadap makanan ayam.
Industri ayam Langkah tersebut, kata Hasmuzair, dapat mengurangkan kos penternakan ayam yang menurutnya, kini mencecah RM4.16 seekor. "Semasa membentangkan Bajet 2008, Perdana Menteri telah mengumumkan sebanyak RM 6.5 bilion diperuntukkan bagi sektor pertanian, juga meliputi pembangunan industri ternakan haiwan. "Adalah diharapkan peruntukan tersebut dapat digunakan secara telus dan jujur untuk meningkatkan industri ternakan haiwan serta mengurangkan kos penternakan," katanya.
Mengenai saranan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), supaya pengguna memboikot beli ayam dan menggantikannya dengan daging lembu, ikan, sayur-sayuran dan telur, Hamuzair berkata, ia hanya bersifat sementara dan bukan jalan penyelesaian. "Ayam tidak boleh digantikan dengan daging lembu kerana kurang sesuai dengan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan. "Ikan pula tidak sesuai menjadi juadah utama dalam sesetengah keadaan. Sementara sayur-sayuran dan telur hanyalah makanan sampingan yang tidak boleh menggantikan ayam sebagai juadah utama," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment